Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Pengukuhan kehadiran anggota keselamatan secara berterusan di kawasan yang terlibat dengan aktiviti pengganas dan penubuhan kawasan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) sepanjang 1,400 kilometer di pantai timur Sabah, akan dapat mengekalkan keselamatan di Sabah.

    

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata kedua-dua strategi jangka pendek dan jangka panjang itu dapat menyekat kemasukan pengganas yang cuba menggugat ketenteraman dan keselamatan Sabah pada masa-masa akan datang.

    

"Kita percaya musuh sekarang tertekan kerana ramai rakan mereka telah ditahan dan ada yang kini didakwa di mahkamah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Persidangan Pesuruhjaya Polis/Ketua Polis Negeri/Komander dan Komandan di Maktab PDRM Cheras hari ini.

    

Isu pencerobohan pengganas Sulu di Sabah adalah antara isu yang dibincangkan dalam persidangan itu selain mengenai persiapan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

    

Ismail berkata anggota keselamatan telah menambah baik persiapan awal PRU13 dan kini bersedia untuk mengawal keselamatan sepanjang PRU.

    

"Orang ramai mempunyai peranan yang sangat penting, jadi mereka diminta bersikap rasional dan jangan bertindak seperti negara kita tiada undang-undang," katanya.

    

Terdahulu beliau menerima sumbangan berjumlah RM354,782 daripada 10 penyumbang meliputi badan bukan kerajaan dan sektor korporat antaranya Bank Islam, Adabi Consumer Industries serta Persatuan

Polis Agama Buddha.

    

Sumbangan itu akan diagihkan kepada lima penerima iaitu Ibu Pejabat Polis (IPD) Tawau, Balai Polis Lahad Datu, Balai Polis Tungku Lahad Datu, Balai Polis Cenderawasih dan Komtek Felda Sahabat 16 Lahad Datu.

    

- Bernama

ADS