BERITA

PM umum pewujudan zon selamat Sabah Timur

Bernama

Diterbitkan
Dikemaskini 25 Mac 2013, 9:42 pagi

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pewujudan Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE) meliputi 10 daerah sebagai memberi asas perundangan kepada Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), berkuatkuasa hari ini.

Beliau menamakan daerah yang terlibat  - Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.

Sepuluh daerah ini akan ditadbir oleh Jawatankuasa Zon Selamat Sabah Timur yang ditubuhkan menurut Peraturan-peraturan Pemeliharaan Keselamatan Awam 2013 dan dipengerusikan ketua menteri Sabah, katanya.

Ketua menteri, sebagai pengerusi, akan dibantu seorang ketua pegawai eksekutif dan anggota jawatankuasa yang akan diumum kelak, katanya ketika berucap pada perbarisan sempena Hari Polis ke-206 di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Jalan Semarak di ibunegara.

Najib berkata ESSZONE juga akan memelihara hak demokratik dan proses demokrasi untuk penduduk Sabah serta mengukuhkan keselamatan, ketenteraman awam dan kesejahteraan di kawasan timur Sabah.

Najib berkata pewujudan ESSZONE setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong di bawah Ordinan Pemeliharaan Keselamatan Awam 1962.

ESSCOM diwujudkan berikutan pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu pada 12 Februari. Pengganas membunuh lapan anggota polis dan seorang anggota tentera dalam insiden itu. Seorang lagi anggota tentera terkorban dalam satu kemalangan jalan raya ketika mengikuti konvoi operasi di kawasan itu. Tindakan ofensif kerajaan yang dinamakan Operasi Daulat dan dilancarkan pada 5 Mac lepas, berjaya membunuh 65 pengganas setakat ini.

Najib berkata jawatankuasa itu akan beribu pejabat di Lahad Datu dan bertanggungjawab kepada jawatankuasa pemantau yang dipengerusikan perdana menteri sendiri.

"Dengan penubuhan jawatankuasa ESSZONE ini, kerajaan mengambil pendekatan holistik dan bukan pendekatan ketenteraan semata-mata bagi melindungi kawasan Timur dan seterusnya mencari penyelesaian kepada isu pencerobohan itu.

"Pada hari ini tiga buah kabin yang akan jadi asas kepada kewujudan ESSCOM tiba di Lahad Datu dan akan berfungsi tidak lama lagi," katanya.

Najib berkata tujuh buah balai polis tambahan akan diwujudkan di kawasan Sabah Timur yang dijangka akan turut menerima kabin-kabin balai pada awal April.

Katanya tujuh balai polis tambahan itu melibatkan kawasan Pulau Bum Bum, Pulau Gaya, Pulau Banggi, Pulau Mabul, Tambisan, Tanjung Labian dan Cenderawasih, Felda Sahabat.

"Perkara ini telah disahkan ketua setiausaha negara dan saya telah rundingkan dengan menteri dalam negeri dan ketua polis negara," katanya.

Dalam pada itu, Najib menegaskan ESSZONE bukannya pengisytiharan darurat di bawah perkara Perlembagaan Persekutuan.

"Ia tidak sekali-kali menghalang proses pilihan raya dan peraturan yang bebas, telus dan demokratik serta tidak memberikan sebarang kuasa tambahan kepada pihak polis," katanya.

Najib berkata jika ada orang yang berpendapat haknya terjejas, dia boleh membawa kerajaan ke mahkamah melalui proses perundangan.

"Kehidupan akan berjalan seperti biasa di kawasan berkenaan tetapi dengan peningkatan kawalan keselamatan bagi memastikan kesejahteraan hidup rakyat," katanya.

Perdana menteri turut menjelaskan bahawa Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang digunakan untuk menjalankan penyiasatan dan tangkapan dalam semua kes melibatkan pengganas di Sabah ketika ini ialah suatu akta melibatkan prosedur semata-mata.

"Ia tidak digubal sebagai akta yang memberikan kuasa mengisytiharkan kawasan keselamatan seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960. Bagi setiap tangkapan yang dibuat di bawah SOSMA, pertuduhan akan dibuat menggunakan undang-undang biasa dan dibicarakan di mahkamah sebagaimana kes-kes jenayah yang lain," katanya.

- Bernama

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.