Pemimpin Umno wajar dinafikan kontrak kerajaan, saran Dr M
Presiden Umno Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad menyarankan ketua-ketua bahagian yang dipilih baru-baru ini dinafikan hak untuk mendapatkan kontrak kerajaan bagi menghapuskan amalan rasuah dan memulihkan imej parti itu.
"Saya cadangkan ketua-ketua cawangan, bahagian dan lain-lain pemegang jawatan dalam Umno disenaraihitamkan daripada mendapat kontrak-kontrak kerajaan,'' katanya ketika mengadakan pertemuan dengan ahli-ahli Umno daripada bahagian Bachok dan Peringat, Kelantan.
"Dengan ini, mereka tidak boleh menjadi kaya dengan memegang jawatan dalam parti. Ada orang yang kaya membelanjakan wang dengan alasan bahawa mereka bertujuan membantu parti. Sebenarnya mereka hanya berminat untuk membantu diri sendiri sahaja,'' katanya lagi, sambil menyeru pemimpin-pemimpin Umno agar tidak menunjuk-nunjukkan kekayaan mereka.
"Jangan melawat ahli (parti) dengan menggunakan Mercedes lampu bulat. Saya sendiri pun pakai Proton Perdana sahaja.''
Sebelum itu beliau sekali lagi membidas calon-calon ketua cawangan dan bahagian yang mengamalkan politik wang dalam pertandingan parti itu baru-baru ini dan menyeru agar amalan buruk itu dibuang daripada Umno.
"Biarlah Umno menjadi parti yang miskin tetapi disukai ramai, daripada menjadi (parti) kaya tetapi dibenci. Saya sudah menangis, memujuk (agar politik wang dihapuskan) dan mereka mangatakan 'ya, ya,' (untuk menghapuskan amalan itu). Tetapi apabila mereka pulang (ke cawangan dan bahagian masing-masing), perkara yang sama berlaku sekali lagi," kata Perdana Menteri, pada penghujung lawatan sehari ke negeri itu semalam.
Menurutnya, Umno masih mempunyai harapan untuk mempamerkan prestasi yang baik dalam pilihanraya umum akan datang.
Anwar suka reka cerita
"Orang bukannya benci kita sangat. Dalam dialog saya dengan pegawai-pegawai kerajaaan, mereka kata memang Umno wajar disokong. Tetapi mereka berkata pula bahawa Umno hari ini telah lari daripada perjuangan asalnya, dan hanya mementingkan wang semata-mata," katanya.
"Mereka mempunyai persepsi bahawa Umno telah menjadi terlalu 'corrupt' (mengamalkan rasuah)."
Dr Mahathir juga turut menyalahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai punca kekalahan teruk Umno dalam pilihanraya umum 1999.
Sambil menuduh bekas timbalannya itu sebagai pembohong, Dr Mahathir berkata Anwar seorang pemimpin yang tidak serik mereka-reka cerita demi kepentingan dirinya sendiri.
"Semasa saya jadi Menteri Pendidikan (pada tahun 1970-an), dia (Anwar) mereka-reka cerita bahawa terdapat kanak-kanak mati kebuluran di Baling (Kedah). Maka dengan itu, tercetus demonstrasi oleh mahasiswa-mahasiswa. Tetapi selepas dia masuk kerajaan (sejak 1982), maka demonstrasi tidak wujud. Dan apabila dia dipecat, demonstrasi terjadi semula.
"Banyak pembohongan yang telah dilakukan olehnya (Anwar). Kata dia, saya nak suntik dia dengan virus HIV (penyebab penyakit Aids), tetapi dengan 'tabiat' dia itu, memang berisiko untuk mendapat penyakit sedemikian. Kalau terdapat virus HIV di dalamnya, dia akan menuduh bahawa semua ini adalah angkara kerajaan.
Isu Anwar akan lapuk
"Kemudian dia kata saya racun dia dengan arsenik, tetapi (tuduhan Anwar itu) didapati tidak benar. Sekarang pula (Anwar) sakit pinggang. Siapa yang tidak pernah sakit pinggang? Sebagai doktor, bila orang kata dia sakit kepala, saya terima sajalah. Sama ada benar atau tidak, hanya dia sendiri sahaja yang tahu,'' kata Dr Mahathir, sambil menambah beliau sangsi melihat 'kegemaran' Anwar menggunakan kerusi roda sejak kebelakangan ini.
"Saya tanya dengan hospital sama ada dia boleh berjalan, ... tetapi nampaknya dia lebih suka naik kereta sorong (roda) agar dapat dilihat oleh media-media asing seperti CNN dan sebagainya, dan kemudian (media luar negara itu) boleh menuduh bahawa kerajaan adalah zalim, dan telah mengakibatkannya (Anwar) berada dalam keadaan sedemikian,'' katanya lagi, sambil berkata secara menyindir bahawa dalam enam bilion penduduk dunia, hanya seorang sahaja yang boleh merawat Anwar.
Dr Mahathir merujuk permintaan Anwar untuk dibedah secara endoskopik di sebuah klinik di Jerman. Pakar bedah itu, Dr Thomas Hoogland, memeriksa bekas pemimpin negara itu bulan lalu tetapi tidak bersedia menjalankan rawatan itu di negara ini ekoran perbezaan pandangan dengan pihak hospital dan kerajaan.
"Isu Anwar akan lapuk pada pilihanraya yang akan datang, tetapi mereka akan mereka-reka cerita lain pula untuk pilihanraya yang akan datang," kata Dr Mahathir lagi, sebelum berlepas ke Kedah untuk menghadiri mesyuarat bahagiannya pada hari ini.
Dr Mahathir menang tanpa bertanding sebagai ketua bahagian Kubang Pasu.

