Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM dan 'eksperimen' k'jaan sementara Negeri Sembilan

ULASAN Rakyat serta pengundi di Negeri Sembilan perlu ‘berterima kasih' kepada kerajaan Persekutuan pimpinan BN kerana membiarkan kerajaan negeri tersebut terbubar dengan sendirinya dan dipimpin oleh kerajaan sementara.

Kerajaan sementara adalah kerajaan yang memimpin tanpa boleh meluluskan perkara besar terutama berkaitan perkara dasar sehingga mandat baharu diperoleh melalui pilihan raya.

Kerajaan sementara Negeri Sembilan hanya boleh mengurus tadbir rutin jadual perjalanan negeri tersebut dan meneruskan dasar-dasar yang telah diluluskan sebelum i terbubar secara automatik pada 27 Mac lalu.

Dalam erti kata yang lain, kerajaan Negeri Sembilan berjalan tanpa mandat dari rakyat kerana mandat rakyat sudah cukup tempoh lima tahun dan mandat baru perlu diperbaharui dalam pilihan raya umum ke 13.

Belum pernah terjadi kerajaan pusat membiarkan kerajaan negeri terbubar dengan sendiri tanpa pilihan raya umum diadakan. Ini kejadian pertama di negara ini, yang sedang dipimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Kini sejarah telah tertulis negara bertahan melepasi tempoh masanya manakala Negeri Sembilan menjadi negeri pertama terbubar secara automatik.

Bergantung legasi lama

Negeri Sembilan menjadi bahan ‘eksperimen' untuk menguji apakah bentuk kerajaan sementara yang dimaksudkan oleh banyak pihak.

Eksperimen ini dapat dilihat pada hasilnya apabila menteri besar Negeri Sembilan tiba-tiba hilang kuasa eksekutif serta tidak mampu meluluskan sesuatu keputusan besar, sebaliknya hanya meneruskan kerja-kerja yang ditinggalkan oleh legasi kerajaannya dahulu.

Jika parlimen masih juga belum dibubarkan pada awal April, banyak negeri lain akan menyusul untuk ‘diuji kaji' dengan Pahang menjadi negeri kedua terbubar pada 7 April 2013.

Keengganan perdana menteri untuk membubarkan parlimen sehingga DUN Negeri Sembilan terbubar dengan sendirinya amat memalukan serta menghina rakyat di negeri itu.

Rakyat negeri tersebut pasti merasa kecewa apabila tidak diberikan hak untuk memilih kerajaan baharu apabila tamat tempohnya, sebaliknya dibiarkan berlalu berhari-hari diperintah oleh kerajaan sementara.

Justeru, bagi membalas jasa perdana menteri yang mencatatkan sejarah baharu Negeri Sembilan, rakyat di negeri itu perlu menolak BN dan kepimpinan Najib.

Ia sebagai pengajaran paling berharga agar beliau menghormati keputusan rakyat memilih kerajaan yang sah. Ia juga sebagai mesej penting supaya mana-mana perdana menteri tidak mengulangi tindakan seperti ini di masa-masa yang akan datang.


RIDUAN MOHD NOR ketua penerangan Pemuda PAS. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini .

ADS