Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Senarai calon BN N Sembilan belum dimuktamadkan

Senarai calon Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan untuk pilihan raya umum ke-13 (PRU13) sedang disaring oleh agensi seperti Jabatan Insolvensi dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk mengenal pasti calon yang benar-benar layak dan bersih bertanding.

"Jadi belum ada yang muktamad ataupun disenarai pendekkan. Senarai calon ini ramai, ada nama baharu, ada nama lama....termasuk penyandang," kata Pengerusi BN negeri Datuk Seri Mohamad Hasan di sini hari ini.

Ketika ditemui pada majlis penyerahan zakat perniagaan oleh Permodalan Nasional Bhd (PNB) kepada Pusat Zakat negeri, Mohamad berkata apabila siap melalui saringan itu, senarai calon akan dihantar kepada pimpinan pusat parti yang seterusnya akan menentukan calon boleh menang.

Mohamad juga menegaskan bahawa pemilihan calon bagi PRU13 ini berbeza kerana senarai pendek calon yang bertanding akan diputuskan pemimpin tertinggi parti, bukannya Badan Perhubungan Negeri, seperti sebelum ini.

"Dulu kami guna satu saluran iaitu semua pimpinan di peringkat bahagian hantar kepada Badan Perhubungan Negeri dan badan perhubungan akan buat senarai pendek dan menghantar nama.

"Tapi sekarang ini proses menyenarai pendek dibuat di peringkat pusat. Jadi tidak timbul lagi badan perhubungan yang membuang nama dan sebagainya," katanya.

Justeru, Mohamad yang juga Menteri Besar berkata semua pihak perlu akur dengan senarai calon yang akan diputuskan kelak oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, selaku pengerusi BN.

Pada majlis itu Mohamad yang juga pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan menerima pembayaran zakat oleh Permodalan Nasional Bhd (PNB) bagi tahun kewangan 2009, 2010 dan 2011 berjumlah RM3.5 juta yang disampaikan oleh Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

-Bernama

ADS