Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar menubuhkan jawatankuasa khas untuk menyiasat dakwaan yang ditimbulkan kumpulan pembela hak asasi binatang dan juga PKR, berhubung operasi penakaian melibatkan hampir 100,000 ekor kera.

Laporan Malay Mail hari ini menyebut, laporan siasatan tersebut akan dikemukakan kepada menteri terbabit Datuk Seri Douglas Uggah Embas.

Perkembangan itu adalah susulan laporan akhbar berkenaan pada Rabu lalu yang memetik kenyataan Persatuan Menolong Haiwan (SPCA), bahawa operasi itu tidak mungkin dijalankan dengan perikemanunsiaan disebabkan jumlah kera yang banyak.

Kementerian berkenaan, lapor Malay Mail , mempertahankan operasi tersebut, yang didakwa tidak menyebabkan kepupusan haiwan berkenaan.

“Kera adalah haiwan prolifik dan mampu membiak dengan pantas, maka tidak timbul isu bahwa spesis tersebut terancam akibat penakaian," kenyataan kementerian dalam laporan itu dipetik.

Satu jawapan kementerian tersebut di Dewan Rakyat pada tahun 2011 menyatakan bahawa operasi penakaian tersebut melibatkan teknik tangkapan serta penghapusan melalui suntikan dan juga penghapusan melalui tembakan senapang patah atau raifal.