Enam belas pilihan raya kecil diadakan selepas pilihan raya umum ke-12 2008 ekoran berlakunya kekosongan bagi enam kerusi parlimen dan 10 kerusi dewan undangan negeri (DUN).  

Daripada jumlah pilihan raya kecil yang berlangsung, BN dan pembangkang masing-masing memenangi lapan kerusi. BN menang dua kerusi parlimen dan enam kerusi DUN, manakala pembangkang empat kerusi parlimen dan empat DUN.

Walaupun pada peringkat awal, pembangkang dilihat menguasai pilihan rakyat pada beberapa pilihan raya kecil itu, namun trend berubah dalam lima pilihan raya kecil terakhir apabila BN mencatat kemenangan berturut-turut dalam pertembungan di DUN Bagan Pinang, Galas, Tenang, Merlimau dan Kerdau.

Sebanyak 13 pilihan raya kecil diadakan berikutan kematian penyandang kerusi berkenaan manakala tiga lagi kerana peletakan jawatan wakil rakyatnya.

Pilihan raya kecil pertama diadakan bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh di Pulau Pinang pada 26 Ogos 2008 apabila Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail meletakkan jawatan sebagai anggota Parlimen Permatang Pauh untuk memberi laluan kepada suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga penasihat parti itu bertanding di kawasan berkenaan.

Anwar menang dengan majoriti 15,671 undi mengalahkan calon Barisan Nasional Arif Shah Omar Shah dan calon Bebas Hanafi Mamat.

Pilihan raya kecil DUN Bukit Selambau pada 7 April 2010 dan DUN Penanti pada 31 Mei 2009 diadakan berikutan peletakan jawatan wakil rakyat dari PKR iaitu V Arumugam dan Mohammad Fairus Khairuddin.

BN memutuskan tidak bertanding bagi pilihan raya kecil DUN Penanti, yang dimenangi calon PKR Mansor Othman mengalahkan dua calon Bebas, Aminah Abdullah dan Nai Khan Ari.

Di Bukit Selambau, terdapat 13 calon Bebas bertanding, kesemuanya mengumpul sejumlah 1,326 undi. Kerusi itu dimenangi calon PKR S.Manikumar dengan majoriti 2,405 undi.

- Bernama