Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Kerajaan sedia ada telah terbukti dapat menunaikan segala aspirasi rakyat, termasuk menyediakan pengangkutan awam yang banyak memberikan kemudahan kepada rakyat, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata segala kemudahan yang disediakan kerajaan itu pada mulanya dikutuk oleh pihak tertentu tetapi kini mereka pula mengidamkan untuk memiliki kemudahan tersebut.

Untuk itu, rakyat perlu berfikir secara rasional dan bertanya kepada diri sendiri bagi menentukan nasib masa depan mereka dan negara pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) pada 5 Mei, kata beliau ketika merasmikan TBS di Bandar Tasik Selatan di Kuala Lumpur hari ini.

"Ada pihak yang tertarik kepada perkataan 'ubah', seolah-olah apa yang penting adalah untuk mengubah daripada apa yang mereka ada pada hari ini, tetapi sebaliknya yang penting bukanlah mengubah yang sedia ada pada hari ini tetapi keberhasilannya.

"Itulah yang patut kita tanya pada diri kita, cuba bayangkan Malaysia tanpa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), tanpa Putrajaya, tanpa Terminal Bersepadu Selatan (TBS) dan lain-lain kemudahan yang telah disediakan oleh kerajaan selama ini," kata Najib.

"Ada orang kata bahawa semua kerajaan adalah sama, (tetapi) bukti dan dalilnya adalah sebaliknya, bukan semua kerajaan adalah sama, ada kerajaan yang akan membawa kepada kebaikan dan ada kerajaan yang kurang kemampuan akan membawa kepada kekecewaan," kata perdana menteri.

Najib berkata penubuhan TBS bernilai RM570 juta sebagai hab pengangkutan bersepadu untuk orang ramai itu merupakan satu bukti jelas kejayaan dasar transformasi negara yang dilakukan kerajaan hari ini.

Katanya, ia juga bermatlamat untuk memastikan Malaysia akan menjadi negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 selain mendahulukan kepentingan rakyat.

"Kerajaan menyedari bahawa pengangkutan awam yang efisen, boleh dipercayai, bersepadu, mampu dari segi kosnya adalah merupakan ciri-ciri yang amat dekat di hati rakyat.

"Untuk menjayakan objektif ini, maka kita perlu wujudkan beberapa hab pengangkutan di Lembah Klang ini supaya dapat mengelakkan kesesakan lalu lintas di kawasan bandar," katanya.

Beliau berkata sejak TBS beroperasi dua tahun lepas, jumlah penjualan tiket telah meningkat sebanyak 73.8 peratus pada 2012 manakala bilangan ketibaan dan pelepasan bas masing-masing meningkat sebanyak 21.7 peratus pada tahun lepas berbanding 20.6 peratus pada 2011.

"Untuk tempoh suku tahun pertama tahun 2013, purata pengguna di TBS telah meningkat kepada 33,000 sehari berbanding dengan 23,300 sehari untuk tempoh yang sama pada tahun 2012," katanya.

Beliau berkata dengan adanya TBS juga berjaya mengurangkan kesesakan bas dan lalu lintas di Puduraya yang kini dikenali sebagai Pudu Sentral setelah diberi wajah baru.

Najib berkata TBS boleh diberi penarafan lima bintang berdasarkan kemudahan yang disediakan di terminal itu yang canggih dan moden serta selesa dari kebanyakan lapangan terbang di dalam negeri dan luar negara.

"Antara keistimewaan adalah menggunakan sistem E-Ticketing yang memudahkan pelanggan membeli tiket dan mampu menyelesaikan masalah ulat tiket selain kemudahan 18 kaunter tiket dan satu kaunter khusus untuk pengguna kurang upaya (OKU)," katanya.

Beliau berkata terminal itu juga mewujudkan peluang perniagaan kepada para peniaga dengan terdapat 60 ruang niaga seperti butik, restoran dan Klinik 1Malaysia serta 34 ruang niaga bazar yang memberi peluang kepada peniaga kecil untuk menambah pendapatan.

Najib berkata selain TBS, kerajaan akan membina Terminal Bersepadu Timur Gombak bagi mengurangkan kesesakan dan memastikan kawasan bandar dan luar bandar menjadi tempat yang sesuai untuk didiami dan meningkatkan kualiti hidup rakyat.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS