Pakatan NS gagal umum calon malam tadi
Pakatan pembangkang Negeri Sembilan, malam tadi gagal mengumumkan senarai calon mereka yang akan bertanding di lapan kerusi Parlimen dan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-13.
Setiausaha DAP negeri, Cha Kee Chin berkata kepimpinan pakatan memerlukan masa antara 24 hingga 48 jam lagi bagi meneliti nama calon yang telah disenarai.
"Pengumuman calon ditangguhkan kerana kita masih mengenal pasti senarai calon yang akan bertanding," katanya pada majlis yang diadakan di sebuah hotel di Seremban malam tadi.
Pada majlis itu pembangkang dijadual mengumumkan senarai calon mereka oleh pemimpin tertinggi ketiga-tiga parti termasuk mengumumkan semula secara rasmi senarai calon PAS yang telah diumumkan Rabu lalu.
Sebaik Cha mengumumkan pembatalan itu di hadapan pentas, sebilangan daripada kira-kira 2,000 orang yang hadir mula meninggalkan dewan hotel berkenaan manakala sebahagian besar penyokong kelihatan hanya berdiri di luar dewan.
Majlis tersebut kemudiannya bertukar menjadi ceramah politik dengan sebilangan tetamu langsung meninggalkan majlis.
Seorang penyokong pembangkang yang enggan dikenali berkata ada sedikit masalah mengenai pemilihan calon di beberapa kerusi DUN.
"Biasalah ini masalah politik, memang berlaku macam-macam pada saat-saat akhir," katanya.
Pengumuman senarai calon pembangkang itu amat dinanti-nantikan selepas Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan mengumumkan senarai calonnya hari ini.
Majlis malam tadi turut dihadiri Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali dan Bendahari Agung DAP Fong Kui Lun.
- Bernama

