Ibu kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar, Basah Din, 62, meninggal dunia kerana sakit darah tinggi pada kira-kira 10 malam tadi.

    

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Parit 2 Sungai Burong di Tanjong Karang pada kira-kira jam 10.30 pagi ini selepas disembahyangkan di kediaman Noh di Tanjong Karang.

    

Allayarham yang menetap bersama adik tiri Noh di Sungai Buloh, meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh.

    

Noh yang juga Timbalan Pengerusi BN Selangor serta calon BN bagi mempertahankan kerusi Parlimen Tanjung Karang, ketika ditemui pemberita berkata ibunya berada dalam keadaan lemah secara tiba-tiba ketika sedang menunaikan solat maghrib semalam.

    

"Kali terakhir saya jumpa arwah dua minggu lepas dan arwah ada nyatakan mahu kembali dan menetap di rumah ini.

    

"Ibu saya ada juga tanya sama ada saya masih jadi calon, saya jawab belum pasti dan minta dia doakan dan kata arwah Insya-Allah saya dapat sebab sudah kerja keras" katanya

    

Noh berkata beliau diberitahu adiknya bahawa arwah ibu mereka sempat menonton siaran berita bagi memastikan beliau sah dipilih menjadi calon walaupun telah dimaklumkan oleh adiknya.

    

"Saya percaya doa ibu antara faktor saya masih dipilih menjadi calon untuk pilihan raya umum ke-13," katanya.   

- Bernama