Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Jika di Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dikenali sebagai 'menteri kampung'.

Setiap kali Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu 'turun padang' di Semporna, penduduk pasti memberi sambutan cukup meriah untuk beliau.

Anak kelahiran Semprona itu adalah antara pemimpin yang begitu disenangi penduduk setempat kerana sifatnya yang rendah diri serta mesra rakyat dan amat memahami keperluan masyarakat, yang majoritinya kaum Bajau.

Apabila Mohd Shafie, 55, membuat tinjauan rakyat di kawasan Pekan Semporna seperti ke pasar atau kedai, adalah perkara biasa orang ramai sama ada pelanggan atau peniaga akan berpusu-pusu datang ingin bersalaman dengan beliau.

Kerana sikap peramahnya itu, masyarakat tidak kira kaum dan agama, termasuk masyarakat Cina amat menyenangi kepimpinan beliau.

Oleh itu, menjelang penamaan calon Sabtu ini, penduduk tempatan mahu melihat siapakah gerangan calon yang mahu bertanding menentang Mohd Shafie. Kawasan Parlimen Semporna adalah kubu kuat BN sejak tahun 1970-an lagi dengan Tun Sakaran sendiri tidak pernah tewas setiap kali bertanding dalam pilihan raya.

Pada pilihan raya umum 2008, Shafie menewaskan Abdul Azis Abdul Hamid calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan majoriti 17,462 undi pada pertandingan satu lawan satu. Abdul Azis cuma memperoleh 1,957 undi dan hilang deposit.

Kali ini, desas-desus calon pembangkang yang disebut-sebut mahu mencuba nasib di Semporna ialah Dr Zamri Abdul Habi, seorang doktor, mewakili PKR.

Selain itu, seorang calon Bebas yang disebut-sebut ialah Abdul Halim Bandan, bekas pensyarah maktab perguruan manakala Datu Badaruddin Tun Datu Mustapha juga dikatakan mahu bertanding tetapi belum dipastikan atas tiket apa.

Insiden pencerobohan pengganas dari selatan Filipina pasti dijadikan topik semasa kempen kelak. Ketika itu, Mohd Shafie berada di Semporna.

Peristiwa tercetus pada malam 2 Mac lalu. Waktu itu Mohd Shafie sedang menghadiri program di Kampung Simunul, lokasi insiden berbalas tembak dengan kumpulan penceroboh.

Sebaik mengetahui pertempuran itu, beliau bergegas mahu ke lokasi kejadian tetapi dihalang anggota keselamatan atas faktor keselamatan.

Sebaliknya beliau dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Semporna untuk bersama Ketua Polis Daerah Semporna DSP Mohd Firdaus Francis Abdullah memantau kejadian dari sana.

Tetapi esoknya, Mohd Shafie bertekad juga pergi ke Kampung Senallang Lama apabila menerima khabar bahawa penduduk kampung membunuh seorang pengganas yang datang selepas Subuh dan cuba menjadikan penduduk kampung sebagai tawanan.

Mohd Shafie memiliki diploma dalam bidang pengurusan dan perkapalan dari Kolej Perniagaan London dan Ijazah Sarjana Muda dalam Ekonomi dari Universiti Staffordshire di England.

Setelah Umno berkembang ke Sabah, Mohd Shafie menjadi Ketua Pergerakan Pemuda Umno Sabah. Beliau menjadi angota Parlimen Semporna sejak 1995 selepas mengambil alih daripada bapa saudaranya Tun Sakaran Dandai.

Beliau pernah dilantik menjadi timbalan menteri di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Kementerian Pertahanan sebelum dilantik sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pada 2004. Kemudian beliau berpindah ke Kementerian Perpaduan Negara, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan sehingga April 2009.

Pada pemilihan Umno 2009, Mohd Shafie dipilih menjadi Naib Presiden Umno bersama Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein.

Mohd Shafie sedar sokongan penduduk terhadapnya dan Barisan Nasional adalah kuat, namun beliau tidak sekali ambil ringan.

Mohd Shafie sering berpesan kepada penduduk: "Walaupun kedudukan sekarang kita adalah mantap, janganlah terlalu yakin. Usaha perlu diperkuat dan janganlah kita lalai."

- Bernama

ADS