Najib: Kamilia tolak tanding DUN
Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak berkata Naib Ketua Wanita Umno Datuk Kamilia Ibrahim telah menolak tawaran menjadi calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak kawasan Bukit Chandan dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU13).
Sehubungan itu, kata Perdana Menteri tidak timbul sama sekali soal beliau tidak diberi tempat dalam PRU13 atau tidak dihargai oleh BN.
Beliau menjelaskan tawaran kepada Kamilia adalah termasuk jawatan Exco, jika BN menubuhkan kerajaan, tetapi beliau turut menolaknya.
"Itu merupakan keputusan yang beliau telah buat dan tidak ada timbul sama sekali Naib Ketua Wanita (Umno) tidak diberi tempat atau tidak dihargai oleh BN. Beliau hendak (bertanding kerusi) Parlimen tetapi kita fikir, lebih sesuai Datuk Kamilia bertanding DUN dan (menjadi) Exco.
"Lagipun, mendiang Tun Lim Keng Yaik dulu sewaktu jadi presiden parti Gerakan, telah menerima jawatan Exco kerajaan negeri. Jadi, tidaklah merupakan jawatan tak penting sebenarnya sebagai Exco kerajaan negeri.
"Kalau diterima tawaran itu, Datuk Kamilia boleh memainkan peranan bukan sahaja dalam negeri tetapi juga dalam konteks negara," katanya kepada pemberita selepas majlis perhimpunan dan pelancaran Jaringan Untuk Wanita Ibu Tunggal Malaysia (JUWITA) - Wanita BN di ibunegara hari ini.
Beliau diminta mengulas laporan sebuah akhbar yang menyatakan Kamilia mendakwa tindakan BN tidak meletakkan pemimpin tertinggi Wanita Umno dan BN sebagai calon dalam PRU13 mengecewakan dan dianggap penghinaan kepada wanita.
Naib Ketua Wanita Umno itu berkata ia menunjukkan BN tidak memberi pengiktirafan sewajarnya kepada pemimpin wanita yang berada dalam hierarki tertinggi organisasi wanita untuk bersama-sama saf kepimpinan parti bertanding pada PRU13.
Najib yang juga Pengerusi BN berkata dalam barisan calon wanita, terdapat peningkatan permintaan untuk bertanding di peringkat Parlimen pada pilihan raya umum kali ini berbanding pilihan raya umum lepas.
engenai mereka yang tidak dicalonkan, Najib berkata mereka tenang tetapi bukan mudah untuk memberi kepuasan kepada semua pihak.
Jika tidak ada di antara mereka yang mahu memberi laluan, katanya tidak akan ada perubahan.
- Bernama

