Bilik gerakan BN DUN Duyong dipecah masuk
Bilik Gerakan BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong di Melaka dipecah masuk pagi ini dengan set televisyen dan komputer yang mengandungi data penting pilihan raya hilang.
Calon BN DUN berkenaan Datuk Gan Tian Loo berkata insiden yang mengakibatkan kerugian kira-kira RM1,500 itu disedari pekerja parti sebelum memaklumkan kepada beliau kira-kira 9.30 pagi.
"Kita amat kecewa dengan kejadian ini kerana ia menyebabkan banyak maklumat dan data penting berhubung pilihan raya berada dalam komputer yang dicuri," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.
Beliau yang juga pengerusi MCA Melaka berkata pihaknya percaya kejadian tersebut merupakan perbuatan sabotaj pihak tertentu dalam mengganggu kelancaran kempen dan proses pilihan raya di DUN berkenaan.
Ini kerana barangan berharga lain seperti mesin pencetak laser dan cenderahati tidak dicuri selain tiada kesan geledah berlaku, katanya.
Bilik Gerakan tersebut dipercayai dipecah masuk melalui tingkap bahagian belakang.
Laporan telah dibuat di Balai Polis Kandang pada pukul 10.25 pagi.
Di SELANGOR, bahagian depan bangunan Bilik Gerakan BN di Parit 9, Baroh, Sungai Leman, Sekinchan dekat Shah Alam terbakar setelah dipercayai dilempar dua bom petrol oleh orang tidak dikenali pagi ini.
Ketua Jabatan Pengurusan Polis Selangor SAC Hasanuddin Hassan berkata kejadian itu disedari pada pukul 4 pagi oleh penduduk kampung yang terus memaklumkan kepada pemilik bangunan itu yang didirikan atas tanah persendirian.
"Siasatan awal pihak polis mendapati ada unsur khianat apabila menemui dua botol kaca yang dipercayai diisi petrol di tempat kejadian. Kemungkinan pihak terbabit cuma lalu di hadapan bangunan itu dan baling 'bom petrol' itu memandangkan jarak antara bangunan itu dengan jalan raya adalah kira-kira empat meter sahaja.
"Kebakaran tidak serius cuma beberapa peralatan milik BN seperti bendera dan
banner turut terbakar. Siasatan awal juga mendapati tiada sebarang unsur pecah masuk di bangunan itu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di Shah Alam
hari ini.
Hasanuddin berkata tiada saksi yang melihat sebarang aktiviti mencurigakan sebelum kejadian itu dan sehingga kini tiada tangkapan dibuat.
Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan api.
Di KUALA TERENGGANU, Seorang penyokong parti politik cedera setelah diserang sekumpulan penyokong parti lawan dalam kejadian di Simpang 3 Pekan Dungun, malam tadi.
Jurucakap Pilihan Raya Polis Kontinjen Terengganu Supt Koh Ah Tiam berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 malam sekumpulan pasukan pemantau pilihan raya menurunkan bendera salah sebuah parti yang dipasang di kawasan berkenaan kerana menghalang lalulintas.
Koh berkata tindakan itu menyebabkan berlaku salah faham dan mencetuskan kemarahan penyokong parti berkenaan sebelum mereka turut menurunkan bendera parti lawan.
Katanya, berikutan itu berlaku pertelingkahan dan pertikaman lidah di antara petugas kedua-dua parti politik tersebut sebelum mereka bertindak agresif dan satu pihak menyerang dan memukul mangsa.
"Ekoran kejadian itu mangsa yang berusia 57 tahun itu cedera di bahagian kepala dan badan dan kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
Bercakap kepada pemberita hari ini, Koh meminta mereka yang terlibat dalam insiden pergaduhan ini dan saksi tampil di balai polis berdekatan dengan segera untuk membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
- Bernama

