Tiga lelaki direman bantu siasatan kes letupan
Tiga lelaki direman empat hari oleh Mahkamah Majistret di sini bagi membantu siasatan kejadian letupan di tempat ceramah Barisan Nasional (BN) di Jawi di Nibong Tebal Selasa lepas.
Perintah reman sehingga 29 April itu dikeluarkan oleh Majistret Siti Salwa Jaafar.
Polis menahan ketiga-tiga lelaki yang berumur antara 25 dan 41 tahun itu di George Town, Bukit Mertajam dan Seberang Perai Selatan, kelmarin.
Kejadian letupan itu berlaku pada pukul 10.15 malam semasa Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Datuk Dr Teng Hock Nan sedang menyampaikan ceramah pada majlis yang dihadiri lebih 3,000 orang.
Berikutan itu, seorang petugas keselamatan berusia 35 tahun cedera di kaki kanan terkena serpihan sampah akibat letupan berkenaan.
Polis mengesahkan bahan letupan yang digunakan dalam insiden itu ialah alat letupan rekaan (IED) dan percaya ia adalah perbuatan terancang sekumpulan profesional.
- Bernama

