Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
984 anggota tentera mula mengundi di luar negara

Sebanyak 984 anggota tentera yang terlibat dalam misi di luar negara melaksanakan hak sebagai pengundi pos mulai semalam.

Panglima Angkatan Bersama Laksamana Madya Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata daripada jumlah itu, 913 anggota mengundi di Lubnan, 19 di Mindanao, empat di Afghanistan dan 48 di misi-misi lain.

"Mereka mula menunaikan hak sebagai pengundi semalam dan proses pengundian dijangka selesai selewat-lewatnya esok kerana mengambil kira faktor cuaca, keselamatan dan logistik," katanya kepada pemberita selepas majlis penghantaran kumpulan wanita kedua Malaysian Battalion (Malbatt) 5 di Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam pada itu Ahmad Kamarulzaman yakin dengan kemampuan 11 anggota wanita yang akan berlepas ke Lubnan esok di bawah misi Pertubuhan Bangsa-bangsa bersatu (PBB) menggantikan kumpulan wanita pertama MALBATT 5 yang telah menabur bakti di negara Timur Tengah itu sejak enam bulan lepas.

Beliau berkata kumpulan kedua itu terdiri daripada empat pegawai dan tujuh anggota, masing-masing lapan daripada pasukan tentera darat, dua tentera laut dan satu tentera udara.

"Kita tidak nafikan kehadiran anggota wanita dalam misi seperti ini amat diperlukan khususnya untuk berhadapan dengan kes-kes yang melibatkan kaum wanita, orang tua dan kanak-kanak," kata Ahmad Kamarulzaman.

Sementara itu, Kapt Puteri Haati Mustapha, 29, yang diamanahkan untuk mengetuai misi tersebut, berkata ini kali pertama beliau dihantar ke luar negara bagi menyertai misi seumpama itu.  

"Perasaan saya agak bercampur-baur kerana terpaksa meninggalkan keluarga namun saya juga rasa bersyukur kerana dalam ramai-ramai anggota, kami antara yang terpilih menyertai pasukan ini," katanya.

Bagi Kapt Iryanti Ngadiman, 33, misi itu amat ditunggu-tunggu kerana menjadi platform untuk menimba pengalaman di negara luar dan ibu kepada seorang anak itu mengakui dorongan suami dan keluarga menguatkan semangatnya.

- Bernama

ADS