BERITA

Polis siasat pengendali blog 'Milo Suam'

Bernama

Diterbitkan
Dikemaskini 29 Apr 2013, 1:05 tengahari

Pemilik blog itu akan disiasat mengikut Akta Pilihan Raya 1958, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 505 Kanun Keseksaan.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) pantas mengesan perbuatan menyebarkan khabar angin di media cetak dan elektronik menerusi Unit Pelan Tindakan Media Bersepadu (RMP-IMAP), yang ditubuh setahun lepas.  

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata unit itu mempunyai anggota yang bertugas 24 jam bagi memantau dan mengesan maklumat tidak benar yang disebar di Internet.

"RMP-IMAP bekerjasama dengan semua jabatan di PDRM untuk menangkis dakwaan yang boleh mencemarkan imej PDRM sama ada melalui media cetak mahupun media elektronik, termasuk laman sosial," katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman hari ini.

Beliau berkata maklumat tidak sahih yang dipapar dalam media berkenaan dirujuk ke bahagian tertentu dalam PDRM untuk disiasat.

Syed Ismail berkata unit itu juga mengesan pemilik blog Milo Suam yang didapati menyebar maklumat tidak benar dengan mendakwa anggota PDRM mengundi lebih awal.

Pemilik blog itu akan disiasat mengikut Akta Pilihan Raya 1958, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 505 Kanun Keseksaan.

- Bernama

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.