Persekutuan Gereja Malaysia (CFM) mengutuk mesej anti-Kristian yang dikesan oleh pertubuhan itu di dua papan iklan pilihan raya dan mahu Suruhanjaya Pilihan Raya menurunkan bahan kempen tersebut.

Pengerusi CFM Dr Eu Hon Seng berkata mesej berkenaan melaga-lagakan penganut Islam dan Kristian dengan menimbulkan perasaan bimbang dan takut berhubung isu kalimah 'Allah', yang dibenarkan untuk digunakan oleh penganut Kristian oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

"CFM dan pemimpin Kristian lain sebelum ini menyebut bahawa Kristian bumiputera, yang hanya bertutur dalam bahasa Melayu, menggunakan Bible dalam bahasa Melayu dan kalimah 'Allah' sejak berkurun lamanya, tanpa apa-apa tentangan hinggalah akhir-akhir ini.

"Maka, ianya amat nakal dan jahat untuk melaga-lagakan orang Islam dengan orang Kristian, yang sentiasa berhubungan baik, untuk kepentingan politik dengan maklumat yang terang-terangan salah," kata pertubuhan itu yang mahu SPR menurunkan bahan kempen tersebut.

Papan iklan itu, yang ditunjukkan dalam gambar CFM, menunjukkan gambar dua gereja dengan lambang salib dan tulisan "Gereja Allah".

Ia turut membawa mesej: "Mahukah kita lihat anak cucu kita pergi sembahyang ke rumah Allah ini?".

CFM bagaimanapun tidak menyatakan lokasi papan iklan tersebut.

[Baca berita penuh]