Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Najib: PAS tak mampu bina lebuhraya di K'tan
Diterbitkan:  May 2, 2013 2:28 PM
Dikemaskini: 6:34 AM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mendakwa kerajaan negeri Kelantan berbohong apabila menubuhkan tabung derma untuk membina lebuh raya baru menghubungkan Kota Bharu-Kuala Krai sebagai penyelesaian kepada cadangan projek yang masih belum ditunaikan kerajaan persekutuan itu.

Dalam kunjungannya ke Pasir Puteh, Kelantan hari ini, Najib berkata kerajaan negeri tidak akan mampu membina lebuh raya tersebut, walau dengan jumlah pungutan RM2 bilion.

Beliau berkata demikian hari ini, susulan kepada janjinya awal tahun ini bahawa kerajaan BN akan membina lebuh raya yang diluluskan dalam Rancangan Malaysia ke-5 (1986-1990) itu.

Projek berkenaan diluluskan semula dalam Rancangan Malaysia Ke-9 (2006 -2010).

"Bo lah weh, cukuplah 23 tahun, tipu rakyat, bohong. Ini nak buat lebuh raya Kota Bharu-Kuala Krai, buat tabung, ingat boleh buat lebuh raya dengan tabung (pungut derma daripada rakyat)?

“Berapa banyak tabung masuk, (sedangkan) kos RM2 bilion...(tentunya) tak boleh buat," katanya seperti dipetik dalam laporan Bernama hari ini.

Beliau berucap pada Program Himpunan Rakyat 1Malaysia di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Petai, di Pasir Puteh, menurut agensi bawah kerajaan persekutuan itu.

Beliau juga mengulangi semula janjinya yang diumumkan awal tahun ini untuk negeri Kelantan

Ia termasuk projek membina masjid negeri, stadium, kampus bandar Universiti Teknologi Mara (UiTM), projek 3,000 unit rumah mampu milik, perkhidmatan bas rapid Kota Bharu, selain menyelesaikan masalah bekalan air.

"Ambo beri jaminan menang PRU13, lebuh raya, stadium, masjid dan lain-lain lagi kita akan buat, ambo dah janji buat rumah mampu milik di Kota Bharu sudah pun dimulakan, tempat lain pun kita akan buat, di Pasir Puteh ini pun kita buat. Tujuh perkara itu hanya permulaan, banyak lagi kita akan buat," katanya.

Menurutu laporan itu, Najib turut mempromosi pengerusi BN negeri Datuk Seri Mustapa Mohamad sebagai calon yang sesuai untuk menjadi menteri besar Kelantan.

Turut hadir di majlis itu ialah timbalan Mustapa, Datuk Dr Awang Adek Hussin, yang dipromosi sebagai calon MB BN, dalam pilihan raya 2008.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS