Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
SKMM: ISP langgar syarat lesen jika sekat akses
Diterbitkan:  May 3, 2013 2:18 PM
Dikemaskini: 11:36 AM

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) masih belum menyiasat dakwaan Malaysiakini bahawa penyedia perhidmatan Internet (ISP) menyekat capaian ke portal berkenaan kerana tidak menerima aduan rasmi.

"Siasatan awal mendapati tiada sekatan dilakukan oleh pihak ISP seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak. Setakat ini, kami menerima hanya satu aduan rasmi daripada portal UMNO Online yang mendakwa laman berkenaan sukar diakses oleh pembaca mereka," kata Ketua Komunikasi Strategik SKMM, Sheikh Raffie Abd Rahman.

Sheikh Raffir menambah, suruhanjaya it mengambil berat dakwaan berkenaan, namun siasatan awal menunjukkan ISP tidak menjalankan sekatan seperti itu, yang bertentangan syarat lesen di bawah Akta Komunikasi & Multimedia 1998.

Beliau yang menasihati agar tidak membuat kesimpulan terburu-buru berkata masalah akses tersebut juga mungkin itmbul akibat serangan DDOS atau peningkatan jumlah pengunjung.

"Terdapat beberapa kemungkinan yang boleh menjejaskan kualiti perkhidmatan seperti masalah laluan penghantaran data atau kekangan kapasiti disebabkan peningkatan bilangan mereka yang melayari laman-laman web tersebut.

"Ada kemungkinan juga sesetengah laman web ini telah mengalami serangan DDOS. Punca berlakunya masalah ini sukar untuk dipastikan tanpa audit rangkaian yang menyeluruh," kata Sheikh Raffie.

Dalam reaksi segera, ketua pegawai operasi Malaysiakini Premesh Chandran berkata beliau telah mengemukakan bukti berhubung masalah yang dihadapi portal berkenaan dengan beberapa ISP sejak seminggu lalu, namun tidak membuat aduan rasmi.

Katanya, Malaysiakini memberi peluang kepada SKMM untuk melihat hasil ujian yang dijalankan pada Jumaat lalu dan turut berhubung dengan jurutera TM sejak Isnin untuk menyelesaikan masalah sekatan tersebut.

Premesh membuat aduan rasmi kepada SKMM di ibu pejabat suruhanjaya itu di Putrajaya petang ini.

Siasatan yang dijalankan Malaysiakini menunjukkan beberapa ISP menyekat capaian ke portal tersebut dan juga beberapa videonya di Youtube, yang menyebabkan beberapa pengguna kecewa.

Bagaimanapun, pengguna beberapa ISP seperti YES YTL dan Time Internet tidak terjejas dengan masalah tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS