Bahan letupan ditemui di bilik gerakan DAP Jinjang
Tiga bahan letupan ditemui di sebuah pondok DAP berhampiran pasar Jinjang hari ini, kata Naib Presiden PKR, Tian Chua.
Beliau berkata, polis telah menenangkan keadaan dengan meletupkan
bahan letupan itu dengan selamat.
"Bahan letupan itu diletakkan dalam tin biskut. Nasib baik ia tidak meletup dan mencederakan orang," kata Chua dalam satu kenyataan.
Katanya, beliau berada di lokasi bersama-sama dengan Tan Seng Giaw serta Lim Lip Eng.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Khalid Abu Bakar memberitahu satu sidang akhbar hari ini bahawa polis sedang menyiasat perkara itu
Sementara itu di Seri Kembangan, Malaysiakini mendapati jalan di situ ditutup dengan 15 hingga 20 anggota polis kelihatan di situ.
Dalam perkembangan berkaitan, lewat petang ini, sebuah lagi bungkusan meragukan ditemui di ibu pejabat PKR di Bandar Kinrara Puchong.
Pengawal keselamatan di bangunan itu kemudian dimaklumkan kepada pengurusan bangunan ekoran perkataan "bom" tertulis padanya, hampir sama dengan yang ditemui di Jinjang Utara hari ini.
Perkara itu kemudian dimaklumkan kepada polis dan pasukan pemusnah bom.
Penyandang Parlimen Puchong daripada DAP Gobind Singh Deo kemudian mengarahkan semua kakitangan meninggalkan bangunan sebagai langkah berjaga-jaga.
Ini insiden ketiga berlaku dalam tempoh sembilan jam, selepas kejadian di Jinjang Utara dan Seri Kembangan, Serdang.

