Meskipun sibuk berkempen, namun calon BN Tepuh, Muhamad Ramli Nuh, sempat menikahkan pasangan pengantin baharu di Taman perumahan Wakaf Tengah Tepuh, semalam.
Muhamad Ramli yang sibuk berkempen bagi DUN Tepuh, menyelesaikan tugas yang juga penting iaitu menjadi jurunikah kepada pasangan pengantin Mohd Hanafi Yaacob, 25, dan Farah Nadia Usof, 23, di rumah pengantin perempuan berkenaan.
"Saya sudah menjadi jurunikah kepada lebih 100 pasangan sejak menjadi wakil rakyat selama dua penggal lepas di DUN ini... saya ditauliahkan oleh Sultan Terengganu menjadi jurunikah untuk seluruh negeri Terengganu," katanya.
Kebanyakan pasangan yang saya nikahkan terdiri daripada masyarakat di
kawasan Tepuh, bukan sahaja orang BN, malah pasangan daripada parti lain," katanya ketika ditemui di majlis penikahan itu.
Ustaz Muhamad Ramli yang bertugas sebagai Kadi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu sebelum menjadi wakil rakyat, berkata beliau telah 'ditempah" Februari lepas untuk menikahkan pasangan itu.
Sementara itu, Mohd Hanafi mengucapkan ribuan terima kasih kepada Ustaz Muhamad Ramli kerana dalam kesibukan berkempen, sempat juga menikahkan beliau dan pasangannya.
"Selepas ini saya akan membawa isteri untuk sama-sama mengundi di DUN Tepuh Ahad ini," katanya.
- Bernama
