GALARI FOTO

LEMBAH PANTAI - Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim singgah di Lembah Pantai malam ini untuk memberi lonjakan sokongan kepada anaknya Nurul Izzah dalam usahanya untuk mempertahankan kerusi Parlimen tersebut.

Berucap kepada kira-kira 12,000 hadirin, Anwar berkata beliau datang ke Lembah Pantai kerana beliau mendengar bahawa pengundi yang diragui akan mengundi di situ melalui pos, atau diterbangkan ke situ.

Di samping itu, beliau mendakwa bahawa pengerusi BN telah menamakan Nurul Izzah sebagai salah satu daripada tiga pemimpin muda Pakatan Rakyat yang mesti dikalahkan "dengan apa cara sekalipun."

Sehubungan itu, Anwar menggesa orang ramai keluar mengundi awal dan selepas itu, mereka hendaklah memantau pusat pengundian.

Menurutnya, tiada siapa pun yang berhak untuk merampas kemenangan daripada mereka.

Selepas itu, Anwar beredar untuk menaiki pesawat untuk menghadiri dua lagi ceramah di Pulau Pinang.

Dua jam sebelum itu, Anwar berucap dalam ceramah di Tambun, Perak selepas menyampai ucapan di Pulau Pinang sebelumnya.

Nurul Izzah, berdepan dengan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin dari BN.

Lembah Pantai mempunyai seramai 72,533 pengundi yang terdiri daripada 55 peratus Melayu, 23 peratus Cina dan 20 peratus India.

Jumlah itu menyaksikan pertambahan 15,883 pengundi baru berbanding dengan  daftar pemilih bagi kawasan parlimen tersebut pada 2003.