MCA berbelah bagi isu sertai k'jaan BN
Selepas kalah teruk dalam pilihan raya umum dalam sejarah 64 tahun kewujudannya, MCA dijangka bakal berdepan dengan satu lagi pusingan perbalahan dalaman yang sengit.
Ini boleh membawa kepada mesyuarat agung luar biasa (EGM) untuk menyingkirkan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan membatalkan keputusan parti itu untuk tidak menyertai kerajaan.
Resolusi menolak semua jawatan dalam kerajaan - dari jawatan menteri hinggalah ke peringkat ketua kampung jika parti itu kalah lebih teruk daripada 2008 - telah dicadangkan oleh Soi Lek dan disokong parti itu dalam mesyuarat agung tahunan pada 2011 dan 2012.
Selepas keputusan diketahui pada malam Ahad lalu, pelbagai bahagian MCA yang menjadi penyokong setia Soi Lek, telah menghantar surat peletakan jawatan mereka sebagai wakil dalam majlis pihak berkuasa tempatan
Soi Lek (kiri) sendiri juga mengumumkan beliau akan meletakkan jawatan sebagai
pengerusi Pelabuhan Pulau Pinang selepas menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, tetapi terus memegang jawatan presiden parti sehingga pemilihan parti akan datang, yang dijangka diadakan dalam tempoh enam bulan.
Mereka yang tidak sehaluan dengan kem Soi Lek telah melancarkan gerakan digelar "Selamatkan Jawatankuasa Parti 3.0" untuk menyingkirkan beliau.

