Khairy: BN perlu buat analisis tambah keyakinan pengundi
BN perlu mengkaji dan menganalisis dengan lebih mendalam kaedah untuk mengembalikan semula keyakinan dan kepercayaan pengundi kepada parti itu untuk tempoh lima tahun akan datang.
Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata amat penting untuk BN, kerajaan dan agensi yang sering dipersoal dalam media sosial untuk menjelaskan segera sebarang isu yang dibangkit dan dipertikaikan yang boleh mempengaruhi keyakinan seseorang pengundi.
"Contohnya, konon ada isu pengundi Bangladesh, blackout (bekalan elektrik terputus) ketika pengiraan pengundian di Bentong, peti undi masuk secara tiba-tiba... ini semua kena dijelaskan dengan cepat. Daripada perkara tidak sahih, terus jadi benar dan ini bias pada kepercayaan pengundi tersebut.
"Penjelasan juga perlu untuk pengundi yang masih lagi adil, waras dan berfikiran terbuka dan setia kepada BN," katanya dalam program temu bual 'Helo Malaysia' BernamaTV yang disiarkan malam tadi melalui Astro 502.
Anggota parlimen Rembau itu juga berkata banyak perkara dan berita palsu tersebar luas terutama mengenai PRU kerana seolah-olah tiada kepercayaan tinggi dalam kalangan orang bandar terhadap BN dan sesetengah institusi.
Oleh itu, katanya, BN perlu menarik semula keyakinan dan kepercayaan pengundi melalui transformasi yang dilaksanakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang kesungguhan itu telah wujud dan perlu dilipatgandakan supaya pengundi percaya kepada kerajaan.
"Tiada pil ajaib dalam masa satu hari yang kita boleh kembalikan kebolehpercayaan itu.
"Tetapi kalau kita jujur pada transformasi dan tunaikan janji kita, saya rasa semakin lama, orang yang tidak menyokong kita, bukan saya kata semua orang, orang bandar, daripada semua kaum, profesional, orang muda, lama kelamaan mereka akan dapat percaya pada kita.
"Kena buat dengan cepat. Sekurang-kurangnya kalau nak percaya dengan fakta. Itu sahaja yang dapat meredakan keadaan dan menyelesaikan kemelut yang dipanjangkan Anwar (Ibrahim)," katanya.
Beliau merujuk kepada dakwaan penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya wujud pelbagai penipuan dalam PRU13 sehingga Pakatan Rakyat kalah kepada BN.
Khairy lantas mencabar Anwar untuk menampilkan bukti dakwaannya itu memandangkan Anwar telah menghasut orang ramai untuk percaya perkara yang tidak benar sehingga mewujudkan perpecahan dalam kalangan kaum namun perkara ini sehingga hari ini tidak dibuktikan.
"Kalau dua tiga tahun lepas, Anwar percaya kepada mahkamah, kenapa sekarang tidak percaya dan terus menghasut rakyat tentang apa sahaja penipuan. Ada juga rakyat yang tunggu bukti," katanya.
Mengenai konsep 'ubah', Khairy berkata ketika PRU13, baik BN dan pakatan sebenarnya berkempen untuk membawa perubahan kepada rakyat dan terpulang kepada pengundi untuk memilih parti mana yang mereka lebih percaya.
Beliau berkata BN bersyukur kerana pengundi lebih tertarik kepada konsep transformasi dan perubahan yang dilaksanakan kerajaan selain rekod prestasi yang cemerlang walaupun ada segelintir pengundi yang tertarik kepada kempen pembangkang.
"Jangan sia-siakan peluang ini. Sediakan satu pasukan untuk bentuk transformasi banteras rasuah, jenayah, tingkatkan perkhidmatan awam dan sebagainya.
"Kena tengok isu yang menjadi trend, isu-isu mengenai kredibiliti, bukan isu perkauman. Daripada salahkan kaum, lebih baik kita kenal pasti kenapa (pencapaian BN) merosot, maka barulah kita akan faham pengundi," katanya.
- Bernama

