MCA: Janji niaga Matang-Scope untuk tambah nilai
Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek menegaskan pertukaran saham antara Matang Holdings Bhd dan Scope Industries Bhd akan membawa kepada pengambilalihan songsang (RTO) Scope oleh Matang Holdings, dan janji niaga itu adalah bertujuan untuk menambah nilai saham Matang.
"Ia tidak melibatkan penjualan mana-mana aset Matang Holdings dan adalah silap untuk menyalahtafsirkan urus niaga ini sebagai pelupusan aset oleh MCA.
"Justeru itu, ia tidak dibentangkan di Mesyuarat Jawatankuasa Pusat MCA bagi pertimbangan dan ia juga tidak memerlukan kelulusan dua pertiga daripada Jawatankuasa Pusat," katanya dalam satu kenyataan, di Kuala Lumpur, hari ini.
Pemegang saham terbesar Matang ialah Huaren Holdings milik MCA dengan pegangan besar 10.75 peratus.
Beliau berkata janji niaga itu juga membolehkan Matang Holdings menjadi syarikat senaraian awam dan pemegang saham terbesar dalam syarikat tersebut.
"Sebagai Presiden MCA, saya tidak ada hak untuk membatalkan atau menghentikan mesyuarat agung luar biasa (EGM) Matang Holdings.
"Saya ingin menekankan bahawa walaupun MCA menerusi Huaren Holdings, memiliki pegangan 10 peratus dalam Matang Holdings, masih terdapat 90 peratus pemegang saham lain yang mungkin menyokong cadangan urus niaga ini," katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata sekiranya pengerusi bahagian MCA Parit Sulong Datuk Tan Teck Poh mempunyai cadangan yang lebih baik tentang RTO Scope oleh Matang Holdings, beliau harus membentangkan cadangannya kepada semua pemegang saham untuk dipertimbangkan semasa EGM itu yang akan diadakan pada 31 Mei.
Beliau berkata Tan tidak sepatutnya membuat sebarang kenyataan tanpa menyediakan cadangan bertulis.
"Saya kecewa dengan Tan yang jelas tidak biasa dengan peraturan EGM syarikat dan beliau seharusnya berhenti mempolitikkan janji niaga RTO antara Matang Holdings dan Scope Industries," katanya.
Janji niaga RTO antara Matang dan Scope telah dibincangkan dalam mesyuarat awatankuasa hubungan negeri MCA Johor pada 19 Mei.
Pemegang amanah Matang, Tay Puay Chuan, juga menjelaskan isu itu secara terperinci bahawa cadangan janji niaga tersebut dilaksanakan selepas berbincang dengan bank pelaburan itu dan peguam-peguam dan dijalankan mengikut undang-undang dan telah memperoleh kelulusan daripada pelbagai pihak berkuasa.
Dr Chua berkata Tan dikatakan mendakwa terdapat cadangan untuk membeli estet Matang pada harga RM80,000 sehektar dan beliau harus membentangkan cadangan itu kepada EGM Matang untuk dibincangkan.
-Bernama

