Sarawak mengharamkan import produk poltri dari China dan negara lain yang mempunyai sejarah selesema burung, sebagai langkah pencegahan wabak H7N9, kata Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu hari ini.

    

Jabu yang juga Menteri Pemodenan Pertanian negeri, berkata sekalipun begitu, kerajaan tetap meningkatkan pemantauan di setiap pintu masuk yang merupakan langkah berterusan sejak 2004 di bawah Program Pemantauan Selesema Burung Kebangsaan.

    

"Setakat April tahun ini, sebanyak 51,119 sampel yang diambil dari pasar basah, kedai haiwan, ladang ternakan ayam dan itik, burung merpati, puyuh, burung layang-layang, ayam laga dan unggas lain telah diuji dan didapati negatif," katanya ketika menggulung perbahasan bagi kementeriannya di persidangan dewan undangan negeri.

Bagi menyokong program itu, Jabu berkata Makmal Diagnostik Veterinar di Samarahan akan dinaik taraf secara berperingkat dengan kos RM1.5 juta.

    

Apabila siap kelak, makmal itu akan memiliki peralatan canggih untuk mengesan jangkitan berbahaya termasuk selesema burung, jangkitan virus Nipah serta batuk kering, katanya yang menambah tahap kepakaran tenaga kerja di makmal itu juga perlu dipertingkatkan segera.

- Bernama