Setiausaha Sulit Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani berkata, baginda menolak dakwaan seorang MP PAS negeri itu bahawa kelewatan dalam pelantikan barisan Exco kerajaan Selangor itu berlaku demi “memenuhi kehendak Sultan Selangor”.

Jelasnya, Sultan Selangor telahpun menitahkan Tan Sri Khalid Ibrahim agar mengemukakan senarai anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri itu sejak menteri besar berkenaan dilantik ke jawatan tersebut pada 14 Mei lalu.

Katanya lagi, Khalid seterusnya berjanji untuk mengemukakan senarai tersebut dalam tempoh satu minggu selepas mendapat persetujuan DAP, PKR dan PAS.

Sultan Selangor seterusnya menerima senarai berkenaan pada 20 Mei 2013, ketika Khalid bercuti untuk mendapatkan satu rawatan di luar negara.

“Menteri besar Selangor hanya menghadap bagi mendapatkan perkenan Sultan Selangor pada Isnin 27 Mei selepas beliau kembali ke tanah air.

“Oleh itu tidaklah benar tohmahan oleh seorang ahli parlimen Selangor yang menyatakan kelewatan itu untuk memenuhi kehendak Sultan Selangor,” katanya lagi yang dititahkan untuk memberi penjelasan tersebut.

Beliau merujuk kepada kenyataan MP Shah Alam Khalid Samad, seperti dimuatkan dalam laporan bertajuk 'Exco list held up to accomodate Selangor Sultan' yang disiarkan Malaysiakini pada 21 Mei lalu.

Laporan berkenaan memetik kenyataan Khalid di blog khalidsamad.com, yang mendakwa Pakatan difahamkan bahawa Sultan Selangor menginginkan barisan Exco yang terdiri daripada enam orang Melayu dan empat bukan Melayu.

“Kami difahamkan bahawa DYMM Sultan ingin melihat Exco terdiri dari enam Melayu dan empat bukan Melayu. Ini berbeza dengan 2008 di mana Exco terdiri dari lima Melayu dan lima bukan Melayu.

“Perbezaan ini adalah hasil dari jumlah kerusi majoriti Melayu yang memihak pada PR telah bertambah. Dahulu Umno 18 kerusi, sekarang hanya 12. PAS sendiri pun sudah ada 15, mengatasi Umno, ini belum di ambil kira lagi kerusi yang ada pada PKR,” kata Khalid dalam tulisan tersebut.

Sepuluh orang anggota Exco Selangor mengangkat sumpah jawatan di Istana Alam Shah, Klang pagi ini, hampir sebulan selepas pilihan raya umum 5 Mei.