Bekas pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) Tan Sri Hasmy Agam dilantik semula untuk mengetuai suruhanjaya tersebut berkuatkuasa 24 April lalu.

NONE Pelantikan semula Hasmy untuk tempoh tiga tahun itu dinyatakan melalui satu kenyataan Pejabat Perdana Menteri yang dikeluarkan melalui Bernama petang ini.

Menurut kenyataan itu lagi, pelantikan itu telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah mengikut subseksyen 5(2) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 (Akta 597).

"Selaras dengan subseksyen 6(1) Akta 597, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong juga telah memperkenankan Tan Sri Hasmy Agam dilantik sebagai Pengerusi Suhakam," kenyataan itu dipetik.

Prof Datuk Dr Khaw Lake Tee, Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi A Majid dan James Deva Nayagam pula dilantik semula sebagai anggota suruhanjaya itu untuk tempoh sama.

Sementara Prof Datuk Dr Aishah Bidin, Francis Johen anak Adam dan Sylvester Madating @ Nordin Kasim merupakan anggota baru.

Barisan pesuruhjaya Suhakam, termasuk Hasmy, tamat tempoh perkhidmatan untuk tahun 2010-2013 pada April lalu.