Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Arwah pendaki muda pasti dirindui pada Ramadan
Diterbitkan:  Jun 7, 2013 2:44 AM
Dikemaskini: Jun 7, 2013 6:52 AM

Mohamad Shahrulnizam Ahmad Nazari, pendaki muda yang maut dalam misi menawan puncak Everest, pasti dirindui menjelang Ramadan ini memandangkan arwah merupakan penghubung dalam memastikan anggota keluarganya berkumpul pada bulan puasa.

Makcik kepada Allahyarham, Norfiza Mat Saidi, 44, berkata anggota keluarga akan turut merindui masakan Mohamad Shahrulnizam yang rajin ke dapur setiap kali pulang ke kampungnya di Jalan Tanjung Shawal di Klang.

"Sudah pasti saya akan merindui jenaka dan masakan arwah. Kali terakhir kami berjumpa, arwah mengajar saya membuat sos spageti," katanya kepada pemberita di Surau An Nur, Tanjung Syawal, Sungai Pinang di Klang pada Khamis malam.

Mohamad Shahrulnizam, 25, penolong jurutera di Perbadanan Putrajaya (Ppj), meninggal dunia dipercayai akibat sesak nafas teruk ketika menyertai misi Kelab Rekreasi Sukan dan Kebajikan PPj untuk menawan puncak Gunung Everest.

Jenazahnya, yang diterbangkan pesawat Malaysia Airlines dari Kathmandu, Nepal, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada Khamis malam, dengan diiringi dua pendaki lain iaitu Muhammad Fauzan Hassan dan Mohamad Sujairi Ishak.

Nenek kepada Allahyarham, Fatimah Abdul Jalil, 76, yang menjaga beliau sejak berusia tiga tahun, berkata Mohamad Shahrulnizam akan pasti balik kampung setiap dua minggu untuk meluangkan masa bersamanya.

Ketibaan jenazah Mohamad Shahrulnizam disambut Naib Presiden Kanan PPj Datuk Muhamad Haitamin Ishak serta anggota keluarganya.

Jenazah kemudian dibawa menaiki van diringi kereta polis ke Surau An Nur untuk disembahyangkan sebelum dikebumi di Tanah Perkuburan Batu Belah, Klang

pada kira-kira 10.30 malam.

- Bernama

ADS