Bekas pembantu politik ditahan berkaitan kes bunuh
Seorang bekas pembantu khas kepada calon PKR bagi Parlimen Tapah, K Vasantha Kumar telah menafikan sebarang penglibatan dalam kes pembunuhan bekas rakan sekerjanya K Murugan, seperti yang didakwa oleh pihak polis di Perak.
Bagaimanapun, bekas pembantu itu, S Marimuthu, 38, yang kini merupakan pekerja kilang, telah membuat laporan polis terhadap kenyataan yang mendakwa penglibatannya dalam pembunuhan itu.
Marimuthu juga telah diberitahu bahawa pihak polis mempunyai dua rekod jenayah terhadapnya.
Dia telah ditangkap berkaitan dengan kes bunuh di balai polis Dang Wangi petang ini, apabila dia pergi ke sana untuk membuat laporan mengenai "laporan palsu" itu.
"Polis memberitahunya bahawa dia ditahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," kata peguam M Visvanathan yang mewakili Marimuthu ketika dihubungi Malaysiakini.
"Dia kini di lokap balai polis daerah Dang Wangi. Polis sedang mengatur untuk menghantarnya ke balai polis Batu Gajah," kata Visvanathan.
Awal pagi ini, Marimuthu mengadakan sidang akhbar untuk menafikan dakwaan polis berhubung penglibatannya dalam kes pembunuhan bekas rakan sekerjanya, Murugan (kanan).
"Saya tidak terlibat dalam pembunuhan Murugan. Kenyataan yang dibuat oleh pihak polis tentang penglibatan saya tidak betul," katanya dalam sidang akhbar di Kuala Lumpur.
Dalam akuan bersumpah yang dibuatnya pagi ini, Marimuthu menafikan dia mempunyai sebarang rekod jenayah dan mendakwa kenyataan pihak polis telah mencemarkan reputasinya.
Timbalan Ketua Polis Perak, A Paramasivam telah berkata dua orang dikehendaki unutk membantu siasatan kes pembunuhan Murugan.
Paramasivam berkata Marimuthu adalah salah seorang suspek dan dia mempunyai rekod jenayah kerana terlibat dalam dua kes - satu kes pembunuhan dan satu lagi kes menyebabkan kecederaan, di Bidor, Perak, masing-masing pada 2008 dan 2012.
[Baca berita penuh]

