Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low menjawab gesaan pengkritiknya  supaya  mengambil tindakan segera membasmikan rasuah, dengan berkata bahawa beliau tidak berminat dengan "perubahan kosmetik".

"Beberapa pengkritik telah memberi saya masa 100 hari untuk menunjukkan hasil. Ya, ia boleh dilakukan,  tetapi ini hanya akan merupakan perubahan kosmetik di mana saya tidak berminat. Oleh itu, saya memohon maaf kerana mengecewakan mereka," tegasnya.

Sebaliknya, tegas Low, beliau akan menekankan kepada penyelesaian jangka panjang atau malah anjakan keseluruhan paradigma yang akan menembusi lebih mendalam untuk menangani punca setiap isu.

Ini ditegaskan beliau dalam teks ucapan dasarnya di Konvensyen Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya malam ini yang salinannya telah diedarkan kepada pihak media.

Beliau berkata ini akan dilakukan melalui satu siri program yang akan memberi kesan kepada semua peringkat kerajaan.

Low, yang merupakan presiden Transparency International Malaysia (TI-M) sehingga beliau dilantik dalam kabinet Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak, juga menolak cakap-cakap bahawa beliau akan meninggalkan kerajaan tidak lama lagi kerana kecewa.

Sebaliknya, tegas Low, beliau bersedia untuk perjuangan yang panjang menentang rasuah kerana ia tidak boleh dilakukan dalam tempoh yang singkat.

[Baca berita penuh]