Mukhriz sanggup jadi pengerusi BN Kedah
Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Mahathir menyerahkan kepada pucuk pimpinan tertinggi BN berhubung kedudukan jawatan pengerusi BN Kedah.
Namun, pada masa yang sama Mukhriz menyatakan kesediaan menggalas tanggungjawab itu jika diminta berbuat demikian.
"Yang itu (jawatan pengerusi) kita tunggulah. Saya tak tahu, saya pun tunggu (keputusan pucuk pimpinan BN), kalau benar saya sanggup ambil alih tanggungjawab besar ini," katanya kepada pemberita selepas majlis Makan Malam Ulang Tahun Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia ke-40, di sini malam tadi."
Mukhriz yang juga Timbalan Pengerusi Umno Kedah mengulas kenyataan Pengerusi BN Kedah Datuk Ahmad Bashah pada Ahad lepas, yang dilapor bersedia melepaskan jawatan itu bagi memastikan BN kekal menguasai Kedah pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Ahmad Bashah yang berharap Mukhriz akan mengambil alih jawatan itu turut menyatakan azam untuk membantu Menteri Besar Kedah berkenaan memastikan negeri tersebut kekal di tangan BN pada PRU14.
- Bernama

