BN, Pakatan kemuka petisyen PRU13
Barisan Nasional (BN) Terengganu memfailkan dua petisyen Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang dan Teluk Pasu hari ini.
Wakil jurucakap BN, Che Awang Salleh berkata petisyen itu difailkan pada pukul 11.30 pagi oleh Tetuan Rafaei & Co di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu di Kuala Terengganu.
Kira-kira 100 penyokong BN hadir di perkarangan kompleks mahkamah ketika petisyen difailkan.
Ahad lepas, PAS Terengganu memfailkan dua petisyen PRU13 bagi DUN Hulu Besut dan DUN Kuala Berang atas alasan utama berlaku amalan rasuah.
Di IPOH , Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak memfailkan dua petisyen PRU13 di Mahkamah Tinggi untuk mengisytiharkan sebagai tidak sah dan batal keputusan bagi kerusi Parlimen Bagan Datoh.
Petisyen pertama difailkan menerusi peguam Madhi Hasan yang juga bekas calon PKR bagi kerusi itu.
Petisyen kedua menerusi peguam Chong Kok Yew yang mewakili pengundi Bagan Datoh, Azmi Sulaiman. Kedua-dua petisyen difailkan pada pukul 3.15 petang ini.
Madhi, Naib Pengerusi PKR Perak, berkata petisyen itu difailkan atas dakwaan berlaku perbuatan rasuah serta perbelanjaan berlebihan oleh calon lawan yang merupakan satu kesalahan pilihan raya.
Pada pilihan raya itu, Madhi ditewaskan oleh calon BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang meraih majoriti 2,108 undi.
PKR hanya menang lima daripada 19 kerusi DUN Perak yang ditandinginya manakala bagi kerusi parlimen pula, parti itu menang tiga daripada sembilan yang ditandingi iaitu Lumut, Sungai Siput dan Gopeng.
Di KOTA BHARU , BN Kelantan memfailkan lima petisyen PRU13 di Mahkamah Tinggi - satu bagi kerusi parlimen dan empat kerusi DUN.
Kerusi Parlimen ialah bagi kawasan Bachok dan empat DUN bagi Jelawat, Mengkebang, Gaal dan Manek Urai.
Petisyen difailkan calon-calon BN di kawasan tersebut menerusi Tetuan Mohd Ilias & Co dan diserahkan kepada Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Noor Haslinda Che Seman pada pukul 2.30 petang.
Pada PRU13 itu, calon BN kerusi Parlimen Bachok Datuk Dr Awang Adek Hussin yang juga bekas timbalan menteri kewangan, tewas kepada calon PAS Ahmad Marzuk Shaary dengan majoriti 201 undi.
Bagi DUN Jelawat calon BN Datuk Ilias Husain kalah kepada calon PAS Abdul Aziz Kadir dengan majoriti 102 undi.
Di DUN Mengkebang calon BN Azizzuddin Hussein tewas kepada calon PAS Abdul Latiff Abdul Rahman dengan majoriti 1,072 undi, sementara di DUN Gaal calon BN Redzuan Stapha kalah kepada calon PAS Tuan Mazlan Tuan Mat dengan majoriti 302 undi.
Di DUN Manek Urai calon BN Che Jalal Muda tewas kepada calon PAS Mohd Fauzi Abdullah dengan majoriti 1,633 undi.
Sementara itu, PKR turut memfail dua petisyen di mahkamah sama untuk mengisytiharkan keputusan PRU13 bagi kerusi Parlimen Machang dan Ketereh sebagai tidak sah dan batal.
Petisyen bagi kerusi Parlimen Machang difailkan oleh calon parti itu Wan Zawawi Wan Ismail yang kalah kepada calon BN Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dengan majoriti 805 undi.
Petisyen bagi kerusi Parlimen Ketereh difailkan oleh calon PKR Ab Aziz Ab Kadir, yang tewas kepada calon BN Tan Sri Annuar Musa dengan majoriti 974 undi.
PAS pula memfailkan satu lagi petisyen pilihan raya hari ini melibatkan kerusi DUN Selising apabila calon BN Zulkifle Ali menewaskan calon PAS Saipul Bahrim Mohamad dan calon Bebas Ibrahim Ismail dengan majoriti 107 undi.
Petisyen itu difailkan oleh Pengarah Pilihan Raya PAS DUN Selising, Semsudin Muhammad.
Petisyen dari PKR dan PAS difailkan melalui Hisham Fauzi Associates.
Semalam, PAS memfailkan dua petisyen pilihan raya bagi DUN Air Lanas dan DUN Kok Lanas.
Di KUALA LUMPUR , seorang calon Barisan Nasional (BN) dan seorang pengundi, masing-masing di Parlimen Batu dan Lembah Pantai, memfailkan petisyen pilihan raya untuk memohon pengisytiharan PRU13 di kawasan-kawasan itu tidak sah.
Calon BN Parlimen Batu, Dr Dominic Lau Hoe Chai, 46, dan pengundi Parlimen Lembah Pantai, Mohamad Sazali Kamilan, 40, memfailkan petisyen itu menerusi Tetuan Raja Riza & Associates di Mahkamah Tinggi.
Dominic menamakan calon PKR Chua Tian Chang (Tian Chua), pegawai pengurus bahagian pilihan raya parlimen Batu Mustafa Mohd Nor dan SPR sebagai responden.
Menerusi petisyen tersebut, Dominic mendakwa Tian Chua tidak berkelayakan untuk bertanding kerana Mahkamah Tinggi telah menjatuhkan hukuman denda RM2,000 atau dua bulan penjara, atas kesalahan mencederakan anggota polis pada 2007.
Beliau mendakwa selaras dengan Perkara 48 1(e) dan 48(5) Perlembagaan Persekutuan, sabitan jenayah dan denda tidak kurang daripada RM2,000 yang dikenakan ke atas Tian Chua telah tidak melayakkan Tian Chua untuk bertanding dan dipilih sebagai ahli Parlimen.
Tambah Dominic, responden kedua Mustafa Mohd Nor telah gagal untuk menolak kertas penamaan calon Tian Chua semasa hari penamaan dan ia merupakan perlanggaran Peraturan 7(1)(c) Peraturan-peraturan (Perjalanan Pilihanraya) Pilihanraya 1981 yang akan menjadi asas bagi Hakim Pilihan Raya untuk mengisytiharkan pilihan raya itu tidak dijalankan mengikut undang-undang.
Beliau juga mendakwa Tian Chua mempamerkan bahan kempen pilihan raya sebelum hari penamaan dan sebelum tempoh berkempen.
Sementara itu Mohamad Sazali telah menamakan calon PKR Nurul Izzah Anwar, pegawai pengurus bahagian pilihan raya Parlimen Lembah Pantai Rolan Abd Rahman dan SPR sebagai responden pertama hingga ketiga.
Mohamad Sazali mendakwa pada 4 Mei lalu (sehari sebelum pengundian), Nurul Izzah telah mengganggu pengundi kawasan itu supaya tidak mengundi calon BN Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dengan memberi kenyataan palsu di laman web Malaysiakini.
Beliau berkata kenyataan palsu itu juga telah diterbitkan dan disebarkan secara meluas kepada penduduk Lembah Pantai untuk merosakkan reputasi Raja Nong Chik.
Dakwanya, tindakan tersebut menyalahi undang-undang perjalanan pilihan raya dan Rolan, yang menguruskan tempat mengundi gagal melaporkan kepada SPR bahawa dua peti undi yang digunakan bagi bahagian Lembah Pantai telah dimusnahkan, dirosakkan atau diganggu.
Mohamad Sazali berkata keadaan itu berlaku berikutan tindakan penyokong PKR yang menghalang kenderaan yang membawa peti undi ke pusat penjumlahan undi dan mereka juga memaksa bonet penyimpanan dibuka.
Beliau berkata berikutan keadaan itu, SPR sepatutnya menetapkan hari dan waktu untuk pengundian semula atau secara alternatifnya mengumumkan Raja Nong Chik memenangi kawasan tersebut.
Bagi Parlimen Batu, Tian Chua mengalahkan Dominic dengan majoriti 13,284 manakala Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah mengalah Raja Nong Chik, majoriti 1,847.
-Bernama

