Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jenazah insiden runtuhan penebat kilat dikebumikan

Jenazah Jahir Sulaiman, 46, yang meninggal dunia akibat ditimpa serpihan konkrit penebat kilat di Menara Umno yang terjatuh dalam kejadian angin kencang semalam, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Perak di Georgetown selepas solat Asar hari ini.

Sementara itu, abang ipar Allahyarham, Mohd Mohideen Mohd Syeriff, 54, berkata dia terkilan kerana hasrat adik iparnya yang berasal dari Chennai, India untuk menyambut Ramadan di kampung halamannya tidak kesampaian.

"Adik ipar ada kata kepada saya dia nak balik Julai ini dan sambut Ramadan bersama keluarga di sana. Lagipun dia belum pernah pulang ke India sejak bekerja di sini selama dua tahun," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang di Georgetown.

Semasa kejadian lewat petang semalam adik iparnya itu yang bekerja sebagai kelindan lori gas bekerja lebih masa untuk mengumpul wang lebih untuk pulang ke kampungnya nanti, katanya dengan sayu dan menurutnya biasanya Allahyarham pulang ke rumah 5 petang.

Mohd Mohideen yang merupakan warga Malaysia berkata Allahyarham seorang yang ringan tulang dan sering membantu di gerai supnya di Padang Brown di sini.

Pada 6.45 petang semalam, lori yang dinaiki Jahir dihempap penebat kilat di atas bangunan Menara Umno di Jalan Macalister di Georgetown dalam kejadian angin kencang, mengakibatkan kepalanya cedera parah manakala pemandu lori itu cedera ringan.

Jahir disahkan meninggal dunia sebaik tiba Hospital Pulau Pinang dan meninggalkan seorang isteri, Siti Thaj Nisa, 42, dan dua anak perempuan, Benazir, 19, dan Femina, 8.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif JKP Sdn Bhd Adzmi Ariffin mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan berkata syarikat itu selaku pemilik bangunan Menara Umno akan menghulurkan bantuan termasuk kewangan kepada keluarga Allahyarham.

-Bernama

ADS