Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MyCC siasat cubaan manipulasi pasaran tiket bas ekspress

Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) diarah menyiasat cubaan Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA) memanipulasi pasaran tiket bas ekspres dengan mengehadkan pengeluaran

tiket menjelang musim perayaan Aidilfitri.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Hasan Malek berkata cubaan PMBOA itu merupakan kesalahan mengikut Akta Persaingan 2010.

"Ini kerana, sekiranya perkara itu benar-benar berlaku boleh memberi kesan yang serius terhadap kebajikan pengguna, lebih-lebih lagi masyarakat Islam khususnya yang akan menyambut bulan Ramadan dan Aidilfitri tidak lama lagi," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan rasmi ke ibu pejabat Perbadanan Nasional Berhad (PNS) di Kuala Lumpur hari ini.

PMBOA sebelum ini dilaporkan mahu menaikkan kadar tambang bas ekspres sehingga 30 peratus dan tidak akan menjual tiket seawal Julai dan Ogos sempena menjelang Hari Raya Aidilfitri selagi kerajaan tidak menuruti permintaan mereka.

Presiden PMBOA, Datuk Ashfar Ali mendakwa kenaikan itu bukan disebabkan musim perayaan Aidilfitri, tetapi sebagai semakan semula yang biasa dilakukan dalam empat atau lima tahun sekali sejajar dengan peningkatan operasi yang didakwa kini mencecah sehingga 36 peratus.

Hasan berkata syarikat bas ekspres boleh didenda iaitu penalti 10 peratus daripada perolehan syarikat, selaras dengan peruntukan Seksyen 14 (2) akta berkenaan.

Beliau turut menggesa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) berbincang dengan PMBOA bagi mencari jalan penyelesaian terhadap isu berkenaan dengan secepat mungkin.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS