PKR menuntut polis menghormati hak rakyat untuk berhimpun dan bukannya menakut-nakutkan warga berkenaan daripada menyertai perhimpunan 'Black 505' esok, yang dirancang untuk diadakan di Padang Merbok, Kuala Lumpur.

Naib presiden PKR Tian Chua berkata polis tidak sepatutnya menyatakan hasrat untuk meminta bantuan tentera bagi menangani perhimpunan berkenaan.

Katanya, polis tidak perlu bertindak demikian kerana perhimpunan tersebut bukannya diadakan untuk demi kepentingan kepada mana-mana parti atau pemimpin politik.

“Ia adalah perhimpunan untuk rakyat dari rakyat yang telah dikecewakan terutamanya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya yang gagal untuk mengekalkan pilihan raya yang bebas dan adil di Malaysia.

"Seruan untuk meminta bantuan pasukan tentera seolah-olah mempersoalkan ketidakcekapan polis. Kami yakin Polis Kuala Lumpur lebih daripada mampu untuk mengendalikan peserta perhimpunan yang aman itu.

“Ia seolah-olah parti pemerintah sekali lagi meletakkan plot untuk menanamkan rasa takut kepada rakyat yang ingin keluar Sabtu ini untuk menuntut hak mereka," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas kenyataan pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Datuk Seri Salleh Mat Rasid bahawa polis akan meminta bantuan tentera jika keadaan memerlukan dalam menangani pelbagai perkara yang mungkin timbul dalam perhimpunan berkenaan.

Dalam kenyataan sama, Chua turut meminta Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menghormati hak rakyat seperti yang ada di dalam peruntukan Akta Perhimpunan Aman.

"Kami menyeru menteri dalam negeri menghormati hak rakyat dan sokongan rakyat atas nama Akta Perhimpunan Aman bukannya melayan rakyat sebagai penjenayah yang berdiri untuk menyatakan hak mereka di negara sendiri.

"Perhimpunan Sabtu ini akan dijalankan dan lebih banyak lagi perhimpunan yang akan datang sehingga permintaan rakyat dipenuhi," katanya lagi.

Menurutnya, perhimpunan berkenaan boleh diteruskan memandangkan acara Majlis Olimpik Malaysia telah menangguhkan acara mereka di kawasan terbabit.

azlan