Perasaan takut untuk melahirkan anak secara normal menjadi penyebab utama trend pembedahan caesarean meningkat di negara ini, kata Ketua Jabatan dan Pakar Perunding Kanan Jabatan Obstetrik dan Ginekologi Hospital Kuala Lumpur (HKL), Datuk Dr Ravindran Jegasothy.

Beliau berkata kebanyakan wanita memilih caesarean atau kaedah pembedahan atas alasan tidak mempunyai pengalaman melahirkan anak.

"Selain perasaan takut, masalah lain seperti diabetes dan komplikasi ketika hamil turut mempengaruhi seseorang wanita yang ingin melahirkan anak memilih kaedah caesarean," katanya pada majlis kesyukuran pesakit HKL, Sri Morni Abdullah yang selamat melakukan pembedahan caesarean kali kelima November lalu di hospital itu.

Menurut Dr Ravindran, pada kebiasaannya kaedah caesarean hanya dilakukan hanya untuk tiga kelahiran, namun terdapat kes yang mencapai sehingga sepuluh kali pembedahan dengan risikonya sangat tinggi.

Beliau berkata 70 peratus wanita yang pernah menjalani caesarean boleh bersalin secara normal tetapi sekiranya kelahiran pertama dan kedua menggunakan kaedah caesarean maka kelahiran seterusnya perlu melalui pembedahan.

Tambahnya, terdapat pelbagai komplikasi seperti Placenta Praevia iaitu keadaan uri yang berada di bahagian bawah rahim menyebabkan bukaan pangkal rahim tersekat dan komplikasi Placenta Accreta apabila uri melekat di kawasan otot dinding rahim.

Mengambil contoh pengalaman Sri Morni, Dr Ravindran berkata pesakit sudah diterangkan mengenai risiko yang bakal dihadapinya memandangkan beliau sudah menjalani proses caesarean lebih dari tiga kali, sebelum ini.

"Pesakit didapati mempunyai komplikasi placenta praevia dan placenta accreta yang berisiko tinggi malah proses pembedahan selama tiga jam itu memerlukan pemindahan darah yang banyak serta pembedahan mengeluarkan rahim dan uri," katanya.

Sementara itu, Sri Morni ketika ditemui berkata pengalamannya melahirkan anak kelimanya, Qays Ashir Mishary Asmadi umpama 'mati hidup semula'.

"HKL ibarat rumah kerana sudah empat bulan saya tinggal di sini. Pernah juga koma selama tiga hari selepas melahirkan dan terpaksa dimasukkan ke unit rawatan rapi kerana keadaan sangat lemah," katanya.

Dr Ravindran berkata berbeza dengan kelahiran normal, caesarean memerlukan penjagaan rapi untuk membolehkan luka sembuh iaitu sekitar seminggu bagi luka luar dan kira-kira enam minggu bagi penyembuhan luka bahagian dalam.

Justeru beliau menggalakkan wanita yang tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan agar melahirkan anak secara normal kerana ia bukan sahaja rendah risiko malah penjagaan selepas bersalin juga mudah.

- Bernama