Lima generasi keturunan Aci Bibi dan Mamu Hashim berkumpul buat kali pertama bagi mewujudkan kesinambungan kekeluargaan dan menjaga keutuhan tali persaudaraan.
Pengerusi Majlis Legasi Aci Bibi dan Mamu Hashim 2013, Dr Rezuan Ahmad berkata perhimpunan hari ini adalah usaha setahun yang lepas dalam menemukan semua generasi Aci Bibi dan Mamu Hashim dari seluruh negara.
"Seramai 350 anggota keluarga berkumpul hari ini dan yang paling jauh adalah dari New Zealand. Ini kali pertama kita berkumpul selepas lebih 60 tahun," katanya kepada pemberita di Majlis Legasi Aci Bibi dan Mamu Hashim di George Town hari ini.
Rezuan yang juga cucu Aci Bibi dan Mamu Hashim, berkata datuk dan neneknya berasal dari Nagore iaitu sebuah daerah kecil di pesisiran pantai Teluk Benggala, Tamil Nadu, India.
"Kehadiran datuk dan nenek saya besar kemungkinan sebagai pedagang kecil dari India bermastautin di Pulau Pinang dan bertapak di sini. Dipercayai generasi ini sudah lebih 100 tahun," katanya.
Rezuan berkata objektif majlis legasi itu untuk menyatukan semua anggota keluarga yang tidak kenal antara satu sama lain serta memahami dan memelihara adat berkenaan.
Selain itu, majlis pelancaran dana dan pembukaan koperasi turut diadakan bertujuan membantu anggota keluarga yang susah dan bermasalah serta mengadakan aktiviti tahunan supaya keturunan Aci Bibi dan Mamu Hashim dapat diteruskan.
- Bernama
