Pengamal perubatan India pacu pelancongan perubatan
Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia (MHTC) merancang bergerak ke peringkat kedua dalam usaha pemasarannya di Asia Selatan dengan menarik pengamal perubatan am (GP), kata Pengurus Kanan (Pembangunan Perniagaan) Wong Toon Keng.
"Sebelum ini ia hanya mahu menonjolkan MHTC. Kini, kami mahu menjual," katanya.
Mendekati GP merupakan antara opsyen terbaik, memandangkan pesakit lazimnya akan mematuhi nasihat mereka, katanya kepada Bernama dalam temu bual di New Delhi.
"Ia juga merupakan pilihan untuk pertukaran pesakit, yang merupakan pasaran besar yang boleh diteroka," katanya.
MHTC merancang menganjur acara untuk menghimpunkan GP dan mewujudkan kesedaran dalam kalangan mereka, kata Wong.
Ditanya mengapa rakyat India mendapatkan rawatan di Malaysia, beliau berkata ia merupakan opsyen, memang terdapat hospital terkemuka dan doktor di rantau ini, namun sebilangan mereka memilih mendapatkan rawatan ke luar negara.
Isu lain ialah permintaan melebihi bekalan, katanya.
"Ada masanya ia memudahkan, sebagai contoh jika anak-anak mereka bekerja dan menetap di Malaysia," katanya.
Potensi di India sangat luas, katanya dan menambah sejumlah 22,350 pelawat penjagaan kesihatan dari India mendapatkan rawatan di hospital di Malaysia untuk penyakit berkaitan kardiologi, onkologi, ortopedik dan pemeriksaan kesihatan.
Baru-baru ini, portal utama pelancongan perubatan memasukkan Malaysia dalam senarai pusat-pusat terkemuka di Asia untuk penjagaan kesihatan canggih.
Laman "Destinations" memuatkan lokasi terbaharu myMEDholiday.com, yang meliputi ringkasan mengenai Malaysia sebagai syurga pelancongan perubatan, hospital dan klinik terkemuka Malaysia serta mengetengahkan doktor dan pakar yang berkelayakan tinggi.
Ia memaparkan bidang kepakaran Malaysia seperti kardiologi, onkologi, ortopedik, rawatan kesuburan dan pembedahan rekonstruktif.
- Bernama

