Para pegawai kerajaan negeri menyerbu sebuah tapak pembinaan di Weld Quay di George Town semalam kerana melakukan pembakaran terbuka walaupun jerebu melanda negeri-negeri di sebelah utara.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Negeri Phee Boon Poh berkata para pegawainya menghentikan tindakan itu dan merujuknya dengan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP).

Beliau berkata aktiviti pembakaran terbuka hanya akan memburukkan keadaan jerebu di negeri ini pada masa ini.

"MPPP dijangka mengenakan denda kompaun ke atas kontraktor yang bertanggungjawab," katanya ketika dihubungi.

Phee berkata kerajaan negeri akan terus memantau keadaan itu sambil mengingatkan orang ramai bahawa tindakan akan diambil ke atas mana-mana pihak yang melakukan aktiviti pembakaran terbuka.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang, berkata bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di negeri ini kini di tahap tidak sihat.

Beliau berkata bacaan IPU di Perai ialah 117, Seberang  Jaya (128) dan Universiti Sains Malaysia (118) setakat pukul 11 pagi.

Jurucakap itu berkata JAS turut memantau aktiviti pembakaran terbuka di negeri ini bagi mengurangkan tahap pencemaran udara.

- Bernama