Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi hari ini berkata kerajaan menolak cadangan supaya Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) ditubuhkan kerana wujudnya pertindihan dengan undang-undang sedia ada.

Beliau berkata pertindihan itu antaranya seperti yang telah sedia ada dalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) serta Seksyen 172 (a) Akta Kanun Jenayah.

"Kerajaan amat prihatin sebagaimana keprihatinan ahli pembangkang yang lain. Biarpun IPCMC dicadang sebagai sebuah badan untuk lakukan penyiasatan dan penambahbaikkan, tetapi setiap agensi penguatkuasaan telah dibadankan.

"Kenapa IPCMC ditolak kerana terdapat berlakunya pertindihan di dalam cadangan yang dibuat IPCMC. Contoh umpamanya fungsi siasatan dan pendahuluan.

"Seperti rasuah, perkara itu ada di dalam SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah), serta tidak selaras dengan Akta Kesalahan-Kesalahan di Luar Negeri 1976 dan Seksyen 172 (a) Akta Kanun Jenayah," katanya.

Zahid (BN-Bagan Datoh) berkata demikian semasa menjawab pertanyaan daripada Datuk Johari Abdul (PKR-Sungai Petani) yang meminta kerajaan mempertimbangkan cadangan menubuhkan IPCMC.