Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua menuntut Ketua Menteri Melaka Datuk Idris Haron bertanggungjawab ke atas keselamatan peniaga dan pengunjung di Jonker Walk apabila jalan tersebut dibuka untuk lalu lintas.

"Bila saya teliti laporan ini dengan terperinci, dia kata 300 peniaga yang ada di Jonker Walk boleh teruskan perniagaan mereka. Apa yang dia tak sebut ialah adakah jalan terus dibuka atau ditutup?

"Ini kekeliruan atau silap mata yang cuba dibuat ketua menteri Melaka. Perniagaan ada tapi jalan terus dibuka. Ini boleh menjadi isu keselamatan kepada peniaga, pengunjung dan pelancong.

“Sekiranya ada apa-apa terjadi, kerajaan negeri kena bertanggungjawab," katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Idris semalam, bahawa 300 peniaga tersebut boleh meneruskan perniagaan mereka seperti biasa di kawasan pasar malam Jonker Walk pada setiap hujung minggu.

Idris juga menjelaskan bahawa arahan penutupan gerai yang kebanyakannya menjual cenderamata di Jonker Walk itu hanya salah faham.

Katanya, jalan sekitar Jonker Walk yang menjadi tumpuan pelancong itu dibuka semula untuk kenderaan yang ketika ini ditutup bermula 6 petang hingga 12 malam pada setiap Jumaat.

Isu menghalang peniaga berniaga di Jonker Walk pada hujung minggu, sengaja dimanipulasikan pihak tertentu demi kepentingan politik mereka, katanya lagi seperti dilaporkan Bernama semalam.

Beliau tidak berpendapat bahawa langkah tersebut akan menyukarkan pengunjung dan peniaga dan mengambil contoh amalan yang dilakukan di Oxford City, England.

Peniaga menjalankan perniagaan di kaki lima jalan raya dan kenderaan dibenar melalui kawasan di situ, katanya.

ADS