SapuraKencana Petroleum Bhd peroleh kontrak Petrobras US2.7bilion
SapuraKencana Petroleum Bhd memperoleh kontrak bernilai US$2.7 bilion daripada Petroleo Brasileiro (Petrobras) Brazil untuk membina, menyewa dan mengoperasi tiga kapal sokongan fleksibel (PLSV) laut dalam tambahan bagi tempoh lapan tahun.
Syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini berkata kontrak tersebut diberikan kepada syarikat sekutu SapuraKencana, Sapura Nevegacao Maritima S.A. Brazil, susulan tender Petrobras pada lewat tahun lepas.
Petrobras merupakan sebuah syarikat tenaga bersepadu dengan kerajaan Brazil sebagai pemegang saham majoritinya dan beroperasi di 28 negara.
Di bawah terma pemberian kontrak tersebut, tiga kapal baharu PLSV itu akan dibina di luar Brazil, kata SapuraKencana.
"Sapura Nevegacao Maritima S.A. Brazil memperoleh kontrak untuk menyewa dan mengoperasi kapal-kapal baharu itu selama lapan tahun, dengan opsyen lanjutan bagi tambahan lapan tahun lagi.
"Pemberian kontrak tersebut tidak memberi kesan kepada modal saham terbitan dan berbayar SapuraKencana, tetapi dijangka memberi sumbangan positif kepada aset bersih dan pendapatan masa depan kumpulan," kata syarikat itu.
-Bernama

