'Jawatankuasa Fatwa gagal bezakan Muslim & syarikat'
Bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad berkata Perlembagaan Persekutuan hanya membenarkan zakat dikutip daripada orang Islam, bukan daripada syarikat.
Katanya undang-undang tidak boleh menjadikan sesebuah syarikat sebagai orang Islam atau bukan Islam.
"Saya tidak mencabar keputusan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan Jawatankuasa Fatwa Selangor. Saya hanya cuba memahami asas atau rasional di sebalik keputusan itu (isu zakat)," katanya dalam ucapan bertajuk 'Kewajipan Syarikat Membayar Zakat: Isu yang timbul daripada kesan entiti undang-undang berasingan' pada Persidangan Undang-undang dan Korporat Malaysia 2013 di Kuala Lumpur semalam.
Beliau berkata Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan Jawatankuasa Fatwa Selangor gagal membezakan antara seorang manusia beragama Islam dan sebuah syarikat apabila mereka mengatakan syarikat wajib membayar zakat.
"Mereka membuat andaian bahawa di sebalik sesebuah syarikat, terdapat manusia (pemegang saham). Mereka mengaitkan agama pemegang saham dengan syarikat itu. Jika pemegang sahamnya beragama Islam, maka syarikat itu dianggap sebagai seorang Islam dan oleh itu, wajib membayar zakat," katanya.
Abdul Hamid, yang juga anggota Majlis Penasihat Syariah, berkata Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan bukan sebuah jawatankuasa yang ditubuhkan di bawah mana-mana undang-undang dan oleh itu, ia tidak mempunyai kedudukan di sisi undang-undang.
"Keputusannya bukan merupakan 'fatwa' yang mengikat sesiapa. Di Wilayah Persekutuan, jawatankuasa fatwa yang mempunyai kuasa untuk mengeluarkan fatwa ialah Jawatankuasa Fatwa Wilayah Persekutuan yang ditubuhkan di bawah Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1993 ("Jawatankuasa Fatwa Wilayah Persekutuan").
"Jawatankuasa Fatwa Selangor ditubuhkan secara undang-undang di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 (Enakmen No. 1, 2003).
Kedua-dua keputusan berkenaan dengan jelas mengatakan bahawa sesebuah syarikat diwajibkan membayar zakat.
"Keputusan Selangor agak jelas dan tekal iaitu syarikat berkewajipan membayar zakat 'bagi pihak' pemegang saham yang wajib membayar zakat. Keputusan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pula tidak begitu jelas. Teks keputusannya memberi gambaran bahawa sesebuah syarikat wajib membayar zakatnya sendiri. Bagaimanapun, dalam alasan berikutnya, tiba-tiba ia menggunakan perkataan 'bagi pihak' (pemegang saham), katanya.
Abdul Hamid berkata apabila sebuah syarikat ditubuhkan di Malaysia di bawah Akta Syarikat 1965, melalui kuatkuasa undang-undang, ia mempunyai entiti undang-undang berasingan seperti yang diperuntukkan oleh undang-undang 'bagi tujuan memajukan perniagaan dengan membenarkan pemiliknya melabur dalam perniagaan, tanpa terikat secara peribadi dengan tort atau undang-undang kontrak bagi syarikat itu.'
"Jadi, aset pemegang saham atau rakan kongsi yang boleh diambil kembali dalam tuntutan mahkamah adalah terhad kepada nilai kepentingan yang dimilikinya.
Untuk membolehkan perkara ini dilaksanakan, undang-undang mengiktiraf entiti itu sebagai orang di sisi undang-undang dan dibenar memiliki harta, menandatangani kontrak, menyaman dan disaman.
"Undang-undang tidak boleh menjadikan sesebuah syarikat sebagai orang Islam atau bukan Islam, katanya.
Abdul Hamid berkata di Malaysia, walaupun keputusan sesebuah syarikat diwajibkan membayar zakat telah diwartakan, tetapi ia tidak boleh dikuatkuasakan terhadap syarikat kerana mengikut perlembagaan, syarikat bukan hal negara.
"Syarikat juga tidak terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah dan perbuatan undang-undang negeri yang mengenakan zakat terhadap syarikat adalah tidak sah mengikut perlembagaan kerana zakat hanya boleh diwajibkan terhadap 'manusia yang menganut agama Islam'. Syarikat tidak beragama Islam.
"Adalah tidak wajar bagi sesebuah syarikat menggunakan dananya untuk membayar zakat pemegang saham. Perbuatan ini samalah seperti meminta syarikat menggunakan dananya untuk membayar bil peribadi pemegang saham," kata beliau.
- Bernama

