NGO selar jawapan TOL Lynas menteri
Himpunan Hijau mempersoalkan dua kenyataan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi berhubung lesen pengoperasian sementara (TOL) untuk loji nadir bumi Lynas yang didakwa saling bertentangan antara satu sama lain.
Kumpulan anti projek nadir bumi di Gebeng itu berkata, menterinya Datuk Dr Ewon Ebin (
kiri
) memberitahu Parlimen pada 27 Jun bahawa Lynas boleh terus beroperasi kerana kemudahan simpanan sisa toksik radioaktif di loji mematuhi syarat-syarat TOL.
Bagaimanapun, ketika menjawab soalan Fuziah Salleh (PKR-Kuantan), Ebin berkata, beliau menerima cadangan Lynas berhubung rancangan pelupusan sisa tetap pada hari tarikh akhirnya, 2 Julai.
"Untuk beberapa hari, kami menyuarakan kebimbangan yang serius dan menyelar Lynas kerana tidak menuruti syarat-syarat TOL. Kenapa Ebin tidak memberikan respon pada masa itu?
"Dan sekarang, hari ini (4 Julai), dua hari selepas tarikh akhir 2 Julai, dia respon, dan itu pun ketika ditanya di Parlimen.
"Bukan itu sahaja, dia tampil dengan jawapan berbeza dengan kenyataannya beberapa hari lalu, yang saya tanpa ragu, dibuat semata-mata dengan niat melindungi Lynas," kata pengerusi Himpunan Hijau Wong Tack.

