Ketua Umno Besut Datuk Seri Idris Jusoh meminta agar PAS tidak meletakkan calonnya di pilihan raya kecil DUN Kuala Besut bagi menghormati kemenangan BN dalam pilihan raya umum lalu dan bulan Ramadan.

Ahli Parlimen Besut itu juga berkata, PAS turut tidak mempunyai harapan untuk memenangi pilihan raya kecil itu memandangkan BN mendapat undi majoriti sebanyak 2,434 dalam pilihan raya umum yang lalu.

"Sebenarnya kalau kita lihat, pilihan raya (umum) tak sampai dua bulan. Lebih baik kalau tak payah pilihan raya. Baru-baru ini BN dah menang, berilah pada BN. Tak payah pilihan raya.

"Kita dah menang. Lagi-lagi nak bulan puasa. Hormatilah bulan puasa dan hormati kemenangan BN di tempat itu. Bukan menang sikit. Kalau menang 300 (undi majoriti) tak apa, tapi menang 2,434.

"Kalau PAS tak bertanding lagi elok. Berilah calon BN menang. Biar kita kurangkan berpolitik selepas pilihan raya besar yang lalu," katanya.

Idris yang juga ketua Umno bahagian itu berkata demikian kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Pilihan raya kecil DUN Kuala Besut diadakan berikutan kematian Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan itu, Dr A Rahman Mokhtar akibat kanser paru-paru, 26 Jun lalu.

Bukan senang ubah pemikiran

Dalam pilihan raya umum yang lalu, A Rahman mengalahkan calon PAS Napisah Ismail.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 24 Julai sebagai tarikh mengundi dan 12 Julai sebagai hari penamaan calon pilihan raya kecil Kuala Besut.

Idris berkata, beliau yakin dalam pilihan raya kecil kali ini, BN akan mendapat pertambahan majoriti sehingga 4,000 undi.

Katanya, selaku ketua bahagian, beliau yakin penduduk di kawasan itu tidak akan berubah pemikiran dengan memberikan undi kepada PAS.

"Kalau PAS nak menang, mereka perlu lagi 1,200 undi. Bukan senang nak ubah pemikiran mereka (penduduk Kuala Besut). Saya tahulah sebab saya ketua bahagian sana.

"Insya-Allah kita bukan sahaja sasar untuk menang tetapi majoriti undi sehingga 4,000 (undi) di Kuala Besut... kenapa 4,000? sebab ahli parlimennya ialah menteri pendidikan kedua.

"Mereka harus berbangga dan bersyukur kerana pengiktirafan telah diberi," katanya sambil ketawa.

Lagi berita dari pengarang :
Lagi berita seperti ini :
ADS
Paling Popular
Terkini
ADS