Tiket bersepadu perlu untuk semua pengangkutan awam
Pengusaha pengangkutan awam di negara ini perlu menggunakan sistem bersepadu satu tiket untuk semua dalam usaha menyediakan perkhidmatan yang cekap kepada penumpang.
Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar berkata sistem tiket bersepadu itu bukan hanya untuk perkhidmatan sambungan penumpang tren harian tetapi membolehkan Express Rail Link memperluaskan perkhidmatannya untuk LRT, KTM, bas dan teksi.
"Dengan sistem tiket bersepadu, ia boleh memastikan perjalanan yang lancar untuk penumpang," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan kutipan tambang automatik baharu perkhidmatan tren KLIA Expres dan KLIA Transit di Lapangan Terbang Antarabangsa KL di Sepang semalam.
Sistem baharu itu akan menggantikan sistem sedia ada, termasuk kad pintar, tiket QR barcode dan perkhidmatan layan diri seperti tiket dalam talian portal, kiosk layan diri dan aplikasi mudah alih baharu.
Turut hadir pengerusi eksekutif Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) Datuk Seri Mohd Nadzmi Mohd Salleh dan ketua pegawai eksekutif ERL Noormah Mohd Noor.
Syed Hamid berkata semua pengusaha pengangkutan awam perlu mencontohi langkah ERL dalam menggunakan teknologi terbaharu yang menyediakan akses mudah untuk pelanggan mereka membeli tiket secara dalam talian atau menggunakan aplikasi mudah alih dari lokasi masing-masing di seluruh dunia.
"Sistem tiket dengan teknologi canggih perkhidmatan KLIA Ekspres dan KLIA Transit oleh ERL ini adalah langkah positif ke arah mencapai sistem tiket yang cekap yang menguntungkan kedua pihak iaitu syarikat dan penumpang.
"Ini akan meningkatkan lagi kecekapan perkhidmatan tren yang kini telah mencatat kejayaan 99.7 peratus dalam ketepatan masa," katanya.
Sementara itu, Noormah berkata kutipan tiket automatik baharu perkhidmatan tren KLIA Expres dan KLIA Transit itu memberikan penumpang akses mudah untuk mendapatkan tiket mereka pada bila-bila masa.
"Sistem baharu itu juga disokong oleh laman web baharu yang membolehkan penumpang menempah tiket mereka secara dalam talian dan mewujudkan profil peribadi yang boleh diakses dengan mudah untuk pembelian segera dan pembelian berulang," katanya.
Untuk maklumat lanjut mengenai kutipan tambang automatik ERL yang baharu itu, orang ramai boleh menghubungi perkhidmatan pelanggan di talian 03-22678000.
- Bernama

