Pemimpin parti pembangkang menyifatkan cadangan kerajaan untuk membentuk sebuah jawatankuasa yang membendung kebocoran rahsia sebagai satu usaha melindungi penyelewengan. Mereka berkata pembentukan jawatankuasa ini tidak perlu kerana kerajaan sewajarnya sudah mempunyai satu sistem dan tatacara tertentu bagi melindungi rahsia-rahsia kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Bernard Dompok, hari ini dilaporkan berkata, sebuah jawatankuasa bersama yang diketuai Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan akan dibentuk untuk membendung kegiatan pencerobohan dan pendedahan maklumat rahsia kerajaan.

"Misalnya, pemimpin parti pembangkang menerima dokumen rahsia dan maklumat mengenai tender kerajaan dan urusniaga kerajaan dengan pihak bank," kata Dompok kepada akhbar The Star .

Menurut sumber itu, jawatankuasa tersebut diketuai Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia, Wan Mohamed Safian Wan Hasan, yang pada umumnya akan mengkaji langkah-langkah yang patut diambil untuk meningkatkan tahap keselamatan negara serta mengkaji cara-cara untuk menerapkan ciri-ciri keselamatan di seluruh negara.

Tambah laporan itu, jawatankuasa tersebut akan meneliti undang-undang, peraturan-peraturan serta kuasa-kuasa di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 agar kegiatan berkenaan tidak lagi berleluasa.

Bagaimanapun, pemimpin-pemimpin parti dari Barisan Alternatif sepakat menyatakan tujuan kerajaan itu melindungi penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.

"Kami tidak bersetuju dengan OSA kerana ia jelas melindungi pihak-pihak tertentu yang jelas melakukan penyelewengan," kata Setiausaha Politik Ketua Pembangkang Dr Mohd Hatta Ramli kepada malaysiakini , sambil mendakwa kerajaan menyalahgunakan kuasanya ketika memberikan tender-tender tertentu.

Hatta menegaskan penyelewengan kerajaan akan tetap dibocorkan walaupun ketat sekalipun undang-undang yang cuba membendungnya. "Kebenaran akan terserlah juga akhirnya," katanya.

Sementara Naib Presiden PRM, Rustam A Sani menyifatkan pendedahan penyelewengan oleh pihak pembangkang bukan bertujuan tidak serius. "Orang yang membocorkan rahsia ini bukan bertindak seronok-seronok hendak memberitahu orang ramai tentang maklumat tersebut," katanya, apabila ditanya beberapa dokumen rasmi yang didedahkan oleh pemimpin pembangkang.

Pada 14 Januari lalu, Ketua Pemuda Parti KeADILan Nasional, Mohamad Ezam Mohd Nor, didakwa di bawah OSA kerana dituduh memiliki dan membocorkan dokumen pembahagian saham Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Rafidah Aziz dan siasatan Badan Pencegah Rasuah (BPR) terhadap bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Tamby Chik.

Menjelang pilihan raya umum lalu, selain Ezam, bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, juga beberapa kali melaporkan kepada polis penyelewengan beberapa pemimpin tinggi kerajaan dan menyerahkan dokumen-dokumen asal mengenai kes tersebut.

Bagaimanapun setakat ini siasatan yang dijalankan belum diumumkan oleh polis.

Naib Presiden KeADILan, Marina Yusof pula mempersoalkan kebocoran maklumat sulit kerajaan yang disalahgunakan untuk mendapatkan kontrak dan perniagaan bagi kepentingan diri dan ahli keluarga menteri-menteri.

"Adakah tindakan yang (kerajaan) akan diambil ke atas mereka ini?" soal Marina.

Beliau menambah bahawa undang-undang yang ada di negara ini sudah mencukupi bagi mengawasi segala urusan dan pentadbiran kerajaan yang sedia ada.

"Walau berapa banyak undang-undang digubal sekalipun, sekiranya kerajaan tidak menjalankan tugas-tugasnya dengan adil, maka undang-undang itu tidak bermanfaat kepada sesiapapun," tegas Marina.