Kerajaan perlu mempertimbang secara serius penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) bagi menyiasat dakwaan salah laku atau kesalahan tatatertib anggota polis dalam usaha melenyapkan 'cerita ngeri' yang berlaku di dalam lokap, kata seorang bekas Hakim Mahkamah Tinggi.

Datuk VT Singham, yang bersara baru-baru ini, berkata sudah tiba masanya  untuk melaksanakan penubuhan IPCMC seperti saranan Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia secepat mungkin kerana orang awam dan anggota keluarga si mati kini seolah-olah tidak yakin dengan siasatan pihak polis.

Dalam penghakiman setebal 128 muka surat yang dikeluarkan hari ini, Singham berkata saranan itu tidak seharusnya disimpan dan terus dibekukan, sebaliknya perlu diaktifkan atau dilaksana serta-merta.

Beliau berkata saranan itu tidak perlu lagi dibekukan agar masa dan kos yang dibelanja bagi penubuhan suruhanjaya diraja dan laporan yang dikeluarkan akan lebih memanfaatkan masyarakat.

"Kuasa untuk menyiasat dakwaan itu terhadap pegawai polis terbabit, terutama dalam kes penyeksaan atau kematian ketika dalam tahanan, perlu dilakukan dengan teliti dan berhati-hati..." katanya dalam penghakiman kes saman oleh ibu kepada suspek curi kereta A Kugan, yang mati dalam tahanan polis pada Januari 2009.

Singham berkata penubuhan IPCMC adalah berkaitan disiplin polis berikutan peningkatan mendadak kes keganasan di penjara, penyeksaan dan kematian ketika dalam tahanan polis agar ia akhirnya boleh diperbadankan sebagai undang-undang.

Beliau berkata terdapat justifikasi terhadap keperluan penubuhan segera IPCMC bagi melindungi kepentingan tahanan dalam jagaan polis.

Pegawai polis, katanya, sebagai penjaga undang-undang dan keselamatan orang awam serta negara amnya, perlu melindungi tahanan dan bukan menyalahgunakan kuasa mereka sehingga boleh menggugat kebebasan yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan itu, jika terdapat penyalahgunaan kuasa oleh pegawai polis tertentu, dan jika salah laku berkenaan tidak diteliti atau tindakan undang-undang tidak diambil terhadap mereka, pegawai polis terbabit akan bertambah yakin mereka tidak boleh disentuh oleh mana-mana pihak berkuasa, katanya.

Singham berkata hal ini akan menyebabkan orang ramai hilang kepercayaan terhadap undang-undang sedia ada serta jentera penguatkuasaannya.

"Kematian ketika dalam tahanan polis tidak sepatutnya menjadi trend semasa. Ia satu jenayah kejam yang dilakukan penjaga undang-undang itu sendiri. Jika penjaga undang-undang sendiri melakukan jenayah sedemikian, maka tidak akan ada satu bahagianpun dalam masyarakat yang selamat dan terjamin," katanya.

Singham juga berkata kematian ketika dalam tahanan mungkin satu daripada jenayah terburuk masyarakat bertamadun yang ditadbir oleh kedaulatan undang-undang.

Beliau berkata jika pegawai polis menjadi orang yang melanggar undang-undang, ia bakal memupuk sikap menghina undang-undang serta menggalakkan ketidakpatuhan terhadap undang-undang, dan setiap orang pasti bercenderungan melakukan sesuka hatinya.

"Malah adalah wajar, demi kepentingan keadilan, untuk mengamanahkan keseluruhan siasatan apabila terdapat insiden kematian atau penyeksaan dalam tahanan, atau penyalahgunaan kuasa oleh pegawai polis, kepada sebuah agensi bebas dengan serta-merta, jika boleh, seperti yang disyor Suruhanjaya Diraja," katanya.

Pada 26 Jun lepas, ibu Kugan, N Indra berjaya dalam saman kecuaian terhadap kerajaan dan polis selepas mahkamah membenarkan tuntutannya.

Singham memerintahkan Indra diberi pampasan sebanyak RM851,700 sebagai ganti rugi bagi serangan dan kecederaan, pemenjaraan palsu, misfeasans, kesakitan serta penderitaan selepas memutuskan beliau berjaya membuktikan tuntutannya terhadap defendan.

Mahkamah turut memerintahkan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar (ketika itu Ketua Polis Selangor), bekas Konstabel V. Navindran, bekas Ketua Polis Subang Jaya ACP Zainal Rashid Abu Bakar (meninggal dunia), Ketua Polis Negara dan kerajaan membayar RM50,000 sebagai kos.

Dalam penghakimannya, Singham berkata terdapat beberapa percanggahan material antara keterangan Khalid dan saksi lain berhubung siasatan kematian mangsa.

Beliau juga memutuskan Khalid bertanggungjawab bagi kesalahan yang dilakukan dalam kes itu.

Pada 13 Jan tahun lepas, Indra memfailkan saman menuntut ganti rugi RM100 juta dan menamakan Khalid, Navindran, Zainal Rashid, ketua polis negara serta kerajaan sebagai defendan.

Penyataan tuntutan Indra mendakwa defendan gagal memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan anak lelakinya ketika mangsa berada dalam tahanan polis dari 14 hingga 20 Jan 2009.

Kugan, 22, ditahan sebagai suspek kes curi kereta mewah di Puchong pada 14 Jan 2009 dan ditahan semalaman di lokap Balai Polis Puchong Jaya sebelum polis memperoleh perintah tahanan reman.

Dia dibawa ke Balai Polis Taipan USJ, Subang Jaya dua hari kemudian untuk disoal siasat sebelum dijumpai mati empat hari selepas itu.

Navindran adalah satu-satunya anggota polis yang dipertanggungjawab atas kematian Kugan. Pada tahun lepas, dia didapati bersalah dan dihukum penjara tiga tahun.

- Bernama