Dakwat kekal: MP kesal tiada tindakan atas laporan
Ahli Parlimen Bukit Katil Shamsul Iskandar Mat Akin menggesa Peguam Negara mengambil tindakan ke atas laporan polis yang dibuat di seluruh negara berhubung dakwat kekal yang digunakan semasa pilihan raya umum 5 Mei lalu.
Shamsul berkata, beliau kesal kerana masih belum mendapat jawapan yang konkrit berhubung tindakan polis dalam kes berkenaan.
Katanya, satu jawapan bertulis yang diperolehinya daripada Kementerian Dalam Negeri menyebut, pasukan polis menerima sebanyak 1,469 laporan berhubung penggunaan dakwat berkenaan sehingga 3 Jun lalu.
Bagaimanapun, beliau berkata, jawapan yang diberikan tidak dinyatakan apakah tindakan lanjut yang akan dibuat oleh pihak polis berhubung berhubung laporan itu.
"Peguam Negara perlu bertindak dalam perkara ini. Ini adalah satu jumlah laporan yang besar," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Polis menerima 1,469 laporan tersebut selepas PKR menggesa orang ramai berbuat demikian atas dalam siri ceramahnya berhubung dakwat.
Dakwat berkenaan didapati dapat ditanggalkan dengan mudah setelah disapukan ke jari pengundi pada hari pengundian tersebut.

